Home Tempatan Migran Syria PPSMS tidak terlibat mengemis

Migran Syria PPSMS tidak terlibat mengemis

SHARE

SHAH ALAM – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Syria di Malaysia menafikan penglibatan pelarian Syria melalui inisiatif kerajaan, Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) terlibat dengan aktiviti mengemis sekitar ibu negara.

Ini berikutan tular di media sosial bahawa mereka yang terlibat dengan aktiviti mengemis ini didakwa sebagai pelarian Syria.

Pengerusi Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar), Jismi Johari berkata, daripada siasatan awal, mereka yang terlibat adalah kalangan rakyat Syria dan beberapa negara lain seperti Iraq yang dibawa masuk dari Sudan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti itu di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Ingin saya tegaskan, mereka yang meminta sedekah ini bukan dari kalangan migran Syria dalam PPSMS.

“Ini kerana, migran Syria ini diberikan bantuan asas iaitu tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan pekerjaan kepada mereka. Meminta sedekah bukan satu pilihan kepada mereka,” jelasnya.

PPSMS merupakan komitmen Malaysia untuk menerima 3,000 migran warganegara Syria dalam tempoh tiga tahun secara sukarela atas dasar ihsan dan perikemanusiaan kepada rakyat Syria yang berdepan dengan konflik dan peperangan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Syria Care, Rizal Ali berkata, migran Syria yang datang melalui program PPSMS mempunyai kehormatan yang tinggi dan lebih berdikari bagi mendapatkan pekerjaan halal.

“Ada sebilangan warga Syria yang berada di sekitar Kuala Lumpur yang  mengemis. Hakikatnya saya ingin menjelaskan mereka ini bukan migran yang datang mengikut inisiatif kerajaan.

“Namun disebabkan sebilangan kecil ini telah memberi persepsi yang tidak baik kepada mereka, ibarat nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

Bagaimanapun Rizal berkata, terdapat sebahagian pelarian Syria yang menjadikan aktiviti mengemis ini sebagai profesion mereka.

Ujarnya, ini berdasarkan pengalaman pihaknya berdepan dengan pelarian Syria di ibu negara yang kembali mengemis di ibu negara meskipun telah dibantu.

“Apabila disiasat dengan lebih lanjut, mereka ini sememangnya menjadikan kegiatan mengemis sebagai pendapatan mereka. Biarpun telah dibantu dan pulang ke negara asal, mereka kemudiannya datang semula ke Malaysia menjalankan aktiviti sama,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line For Syria, Syahrir Azfar Saleh pula berkata, terdapat kumpulan sindiket yang mengambil kesempatan terhadap isu yang berlaku di Syria ini untuk mengaut keuntungan.

Katanya, ini berdasarkan siasatan pihaknya yang melakukan siasatan dan mengekori mereka yang terlibat.

“Mereka ini akan duduk di hotel bajet sekitar Jalan Bukit Bintang secara beramai-ramai. Kemudian mereka dihantar ke lokasi tertentu untuk mengemis.

“Jika mereka merasa diekori, mereka akan bertukar hotel bagi mengelak dikesan. Malah pasukan kami juga mendapat ugutan di mana gambar kami dan kenderaan turut  diambil,” katanya.

Beliau berkata, ugutan diterima itu menguatkan hasil siasatan pihaknya bahawa terdapat sindiket yang menjadikan krisis di Syria ini untuk mengaut keuntungan.

“Hasil siasatan kami dapati mereka  ini kebanyakan datang dari Sudan, kerana negara itu sama seperti Malaysia yang boleh menerima ‘visa on arrival’. Oleh demikian, mereka mengambil kesempatan berulang alik seperti melancong untuk mendapatkan duit dengan cara mudah,” katanya.

Sinar Online

Comments