Home Tempatan Mereka ini golongan taksub!’

Mereka ini golongan taksub!’

SHARE

GOLONGAN yang menghidupkan kembali fahaman mengatakan bumi ini berbentuk leper, bukan sfera, adalah golongan yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan taksub.

Profesor Pelawat, Program Astronomi Islam Jabatan Fiqh dan Usul Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata, golongan ini menghidupkan kembali fahaman yang pernah berlaku pada zaman Greek purba, India purba dan tamadun China lama.

“Pada saya senang, mereka ini tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan taksub. Sebab kalau kita lihat bukti-bukti saintifik sudah nyata bumi itu sfera.

“Ahli fizik sudah membuktikan bumi ini bulat secara penjelasan. Ahli astronomi sudah membuktikan bumi ini bulat secara matematik. Kalau mereka tidak faham juga, baca buku yang ditulis Ar Razi dan Ibnu Hazm.

“Berdasarkan apa yang dihujahkan oleh Ar Razi dan Ibnu Hazm jelas. Ayat al-Quran tidak salah cuma bagaimana kita mahu menterjemahkan. Tidak ada satu ulama besar zaman dahulu yang menidakkan bumi ini adalah sfera,” katanya.

Malah katanya, bagi meyakinkan orang ramai, golongan itu juga mengeluarkan kembali hujah yang dibuat Samuel Rowbotham pada zamannya yang menidakkan bumi ini berbentuk sfera.

“Pada abad ke-19,  Samuel Rowbotham atau nama gelarannya Parallax banyak menghasilkan tulisan yang mengatakan bahawa bumi itu berbentuk sfera.

“Karya-karya itu diguna pakai semula oleh golongan ini. Orang kita pula mudah terikut sama seperti mudah percaya kepada ajaran sesat,” katanya.

Menurutnya, jika golongan itu bijak mentafsir ayat al-Quran dan membuat kajian serta rujukan dengan individu yang tepat, pasti fahaman itu tidak dihidupkan semula.

“Masalah sekarang banyak orang Islam yang ada pada hari ini, ilmu tentang bidang falaknya kurang. Dia terjemah ayat-ayat al-Quran berdasarkan fahaman sendiri.

“Bumi itu hamparan memang benar sebab bumi itu besar. Dia tengok sebahagian ayat al-Quran tetapi dia tidak tafsir ayat lain yang mengatakan malam menjadi siang, siang menjadi malam. Jadi bagaimana proses itu berlaku? Itu menunjukkan bahawa bumi itu sfera. Kalau bumi rata, macam mana nak dapat siang malam. Mesti siang sahaja. Mereka tidak nampak perkara itu,” tegasnya.

Katanya, satu lagi bukti yang jelas bahawa bumi ini berbentuk sfera adalah kejadian empat musim.

“Di London musim sejuk, tetapi di Australia pula musim panas. Ia hanya boleh berlaku apabila bumi berbentuk sfera,” katanya.

Di Malaysia katanya, golongan yang cerdik pandai juga terpengaruh dengan apa yang disampaikan oleh kumpulan tersebut.

Sebagai contoh katanya, beliau pernah didatangi oleh seorang pensyarah yang mahu membuat tesis untuk membuktikan bahawa bumi ini leper.

“Saya tolak. Saya jelaskan mengapa. Dia kemudiannya membalas akan merujuk perkara itu dengan gurunya. Siapa gurunya saya tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada yang masih sangsi dengan bentuk sebenar bumi, rujuk perkara demikian dengan pakar dan bukan berguru dengan internet.

“Kepada yang kata bumi ini nampak rata, dia perlu mengembara. Islam suruh kita mengembara supaya kita dapat memahami budaya orang dan melihat keindahan ciptaan Allah.

“Bila belajar, belajar daripada sumber yang telah dibuktikan. Jangan berguru dengan Google. Google boleh bantu pencarian tetapi jangan jadikan dia guru. Kalau tidak faham, rujuk pada orang yang tahu,” katanya.

Sinar Online

Comments