Home Tempatan Menjawab Tohmahan Rogol Syariah MCA

Menjawab Tohmahan Rogol Syariah MCA

SHARE

PUTRAJAYA: Abd Hamid Bin Abd Murad, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) telah menjawab tohmahan dan kritikan yang dikeluarkan oleh beberapa panelis dalam forum berkaitan RUU 355 anjuran MCA baru-baru ini.

Salah seorang panelis, Kevin Koo, membuat dakwaan bahawa, orang bukan Islam akan meninggalkan negara ini secara berbondong-bondong jika pindaan ini (Akta 355) dilaksanakan. Abd Hamid mengatakan bahawa penyataan ini bukan satu kenyataan yang bertanggungjawab dan boleh disalahtafsir dari sudut objektif kerana ia hanyalah satu andaian yang rawak serta mencerminkan keperibadian orang yang menuturkannya.

Katanya lagi, faktor utama seseorang meninggalkan negara ini adalah atas faktor ekonomi dan perkahwinan. Malah, Kevin Koo perlu menjelaskan maksud sebenar kenyataannya sama ada meninggalkan negara itu bermaksud menyerahkan kerakyatan yang diperoleh daripada negara ini ataupun tidak.

Apabila beliau dimaklumkan mengenai kenyataan Jagir Singh iaitu “Slippery Slope” bermula sejak 27 Ogos 1976 selepas “Mahkamah Muslim” ditukar kepada “Mahkamah Syariah”, Abd Hamid menjawab, “Penukaran nama dari Muslim Court kepada Mahkamah Syariah adalah satu proses penjenamaan semula. Penukaran nama kepada institusi mahkamah juga berlaku apabila perubahan kepada sistem kehakiman berlaku di Malaysia. Apabila Malaysia mengambil keputusan untuk memansuhkan rayuan kepada Privy Council di United Kingdom, maka beberapa pertukaran nama telah belaku yang juga melibatkan mahkamah sivil.

Mahkamah Persekutuan telah ditukar nama kepada Mahkamah Agung, iaitu mahkamah sivil tertinggi di Malaysia. Sekarang ini, nama mahkamah tersebut telah ditukar semula kepada Mahkamah Persekutuan. Adakah dengan disebabkan penukaran nama sesebuah mahkamah maka kita boleh dengan secara spontan mengatakan bahawa ia adalah satu “cerun yang licin”? Apa yang penting, ialah proses penyampaian keadilan masih boleh dilakukan dengan cara yang betul dan adil”.

Menyentuh isu rogol antara orang bukan Islam dan orang Islam, Abd Hamid membidas kenyataan ini kerana jenayah rogol tertakluk di bawah kuasa Mahkamah Sivil, Kanun Kesiksaan dan bukannya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Selain itu, Abd Hamid menegaskan bahawa pindaan Akta 355 langsung tidak berkaitan dengan langkah awal pelaksanaan Hudud. Pindaaan ini hanyalah berkenaan kesalahan jenayah Syariah. Bahkan, orang bukan Islam tidak perlu gusar dan bimbang dengan Akta 355 kerana hukuman ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

“Akta 355 ini sah dari segi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak bercanggah dengan Perkara 8 (Kesamarataan), Perkara 11 (Kebebasan Beragama) dan Perkara 38(4) (Keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja). Memandangkan Islam adalah Agama Persekutuan, maka adalah tidak salah jika rujukan dibuat kepada Undang-undang Islam di dalam merangka lanskap perundangan Malaysia. Sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan “common law”nya sendiri seperti yang telah disarankan oleh Almarhum Tan Sri Ahmad Ibrahim sejak tahun 80an lagi.

Tambahan pula, Butiran 4(k) Senarai Persekutuan memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk ‘penentuan hukum Syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang persekutuan’,” tambahnya lagi.

Comments