Home Pendapat Menjawab Tohmahan Datuk Dr Farouk Musa

Menjawab Tohmahan Datuk Dr Farouk Musa

SHARE

Datuk Dr Farouk Musa baru-baru ini menulis di dalam laman sesawang Free Malaysia Today pada 20 Februari 2017 dengan tajuk “Tuntutan syariah dan gelagat ‘wira’ agama Malaysia”. Pelbagai hujah diberikan untuk membuktikan pindaan Akta 355 sebagai sesuatu yang tidak berperikemanusiaan, atau dengan erti kata lain zalim. Antara sebab label ‘zalim’ diberikan kepada undang-undang yang dilaksanakan di bawah Mahkamah Syariah adalah kerana hukuman-hukuman ini dilihat dari sudut yang salah oleh pihak yang menentang.

Sebagai contoh, sebatan di bawah Mahkamah Syariah selalu disamakan dengan sebatan sivil. Ini adalah satu salah andaian semata-mata tanpa secebis kebenaran. Sebatan Syariah amat berbeza dan berkali ganda lebih ringan berbanding sebatan sivil. Namun tindakan menyamakan kedua-duanya, jelas seperti mahu memberi kepada satu imej yang ‘zalim’ kepada sistem perundangan Islam. Namun demikian, golongan yang sama tidak melabel undang-undang sivil sebagai zalim, walaupun wujud hukuman-hukuman yang tidak adil.

Antara dakwaan Dr Farouk Musa dalam penulisannya tempoh hari adalah, “Tetapi seseorang mungkin bertanya, jika benar ia mengenai pemerkasaan sistem syariah yang sedia ada, maka PAS seharusnya membedah apa yang sebenarnya menjadi kelemahan dalam sistem mahkamah syariah yang menuntut pemerkasaan tersebut.” Cadangan ini tidak dinafikan cadangan yang baik namun demikian, cadangan ini boleh dimasukkan ke dalam Akta 355 setelah persetujuan dicapai untuk meminda Akta itu. Malah, usaha-usaha ke arah penambahbaikan sistem syariah sedia ada sedang giat dijalankan. Sebagai contoh, Jawatankuasa Kerja Arahan Amalan Mahkamah Syariah telah ditubuhkan, antara lain bagi tujuan yang dimaksudkan. Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah pula pada ketika ini sedang menggarap modul terbaik, supaya aspek perbicaraan dalam Mahkamah dapat dipercepatkan dan ditingkatkan kecekapannya. Tanpa persetujuan parlimen untuk pindaan Akta 355, tidak boleh ada perubahan kepada Akta tersebut.

Antara hujah lain yang diberikan adalah kezaliman terhadap wanita. Dr Farouk Musa merujuk kepada kes-kes di mana pihak lelaki gagal hadir ke mahkamah. Sekali lagi, ini turut berpunca dari pihak yang bersalah mengambil kesempatan daripada hukuman yang terlalu ringan di Mahkamah Syariah. Sekiranya kadar hukuman dinaikkan kepada suatu kadar yang lebih berat, maka sudah tentu suami-suami yang tidak bertanggungjawab akan berasa takut akan hukuman yang dikenakan.

Antara komen lain dari Dr Farouk Musa adalah, “Semua ini menyerlahkan kebebalan dan sifat tidak bertanggungjawab, apabila mereka gagal untuk memperkasakan aspek ini yang berada di bawah bidang kuasa mereka, sebaliknya memfokuskan kepada urusan jenayah syariah, dengan meningkatkan berpuluh kali ganda hukuman penjara, denda dan sebatan.” Golongan penentang harus tahu, perubahan harus bermula dari satu titik. Jika tidak ada langsung niat untuk mengubah apa-apa maka sudah tentu tiada yang akan berubah. Selepas perubahan kepada hukuman jenayah, barangkali Akta undang-undang keluarga Islam juga boleh dipinda.

Dengan menyatakan orang lain sebagai “bebal dan tidak bertanggungjawab”, tidak akan menguatkan hujah mahupun meninggikan darjat Dr Farouk Musa. Kata-kata seperti itu hanya melambangkan pemikiran beliau dan bukan orang yang dituduhnya.

Tambah Dr Farouk Musa, “Persoalannya sekarang, mengapa kita obses dengan hukuman keras, walaupun jika berhujah pindaan itu tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan?” Jawapannya mudah, ianya adalah untuk mencegah kesalahan jenayah daripada dilakukan dan mencapai keadilan untuk golongan yang dimangsai. Adalah lebih baik sesuatu kejahatan dapat dihentikan sebelum ianya dapat dilakukan, dan harapannya adalah dengan hukuman yang berat dan pelaksanaan yang mantap kadar jenayah dapat dikurangkan dengan mendadak.

Dr Farouk Musa, juga memetik kata-kata Ibn Qayyim al-Jawziyyah “Dasar daripada syariah adalah hikmah kebijaksanaan dan pemeliharaan maslahah manusia di dunia ini dan di akhirat. Keseluruhannya ia adalah keadilan, rahmat dan kebijaksanaan. Setiap undang-undang yang meninggalkan keadilan kepada kezaliman, rahmat kepada kekejaman, kebaikan kepada kejahatan, dan kebijaksanaan kepada keremehan, tidak tergolong di dalam syariah; walaupun ia mungkin dimasukkan di dalamnya secara tersirat.”

Kita tidak menafikan keperluan kebijaksanaan dalam hal menjatuhkan hukuman, sudah tentu orang yang bebal tidak layak untuk menjadi hakim. Hujah yang diberikan nampaknya menempelak Dr Farouk Musa sendiri. Ya benar, Islam adalah rahmat akan tetapi rahmat ini bukan untuk penjenayah. Bagaimana untuk membela mereka-mereka yang dizalimi jika undang-undang dibuat untuk membela penjenayah? Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sudut pandangan yang digunakan adalah tidak betul. Sebagai contoh, hukuman berat yang dikenakan ke atas penjenayah dilihat sebagai kejam, dan kekejaman ini kemudian diterjemahkan sebagai kezaliman. Ini adalah suatu yang tidak adil. Tidak mungkin hukuman yang telah ditentukan oleh Tuhan sekalian alam ini adalah zalim.

Seringkali, memetik kata-kata ulama di luar konteks tidak memperlihatkan kebijaksanaan akan tetapi menjadikan seseorang itu “bebal dan tidak bertanggungjawab” terhadap kata-katanya. Bukankah kegagalan menuntut keadilan itu adalah satu bentuk kekejaman? Maka jika undang-undang yang ada sekarang ini gagal untuk mendapatkan keadilan, maka sudah tentu undang-undang ini adalah zalim.

Antara lain beliau juga menyebut “Kita tidak harus terpengaruh ke arah negara Taliban dengan mengenakan hukuman keras kerana hakikatnya, kita masih gagal untuk membereskan isu keduniaan sekali pun, seperti perceraian dan tuntutan nafkah, atau isu yang lebih mendesak seperti kesetaraan ekonomi dan urus tadbir yang baik.” Terdapat pelbagai persoalan yang ditimbulkan dengan kenyataan ini. Apabila dikatakan menuju ke arah menjadi negara Taliban, dalam erti kata lain Afghanistan, adakah negara kita mengharam perempuan daripada ke sekolah? Adakah negara kita sedang menjalani transformasi ke arah negara yang mengharamkan perempuan daripada keluar dari rumah?

Hujah untuk menentang pemerkasaan undang-undang jenayah Syariah dilihat seolah-olah untuk membela pesalah. Kita juga berharap, Akta-akta lain sepertimana yang disebut Dr Farouk Musa di dalam penulisannya turut sama dipinda bagi mencapai fungsi keadilan yang diingini. Tidak ada jaminan bahawa pindaan kepada Akta-akta lain seperti Akta 303 seperti yang disebutkan Dr Farouk Musa akan diterima baik oleh golongan anti Melayu, anti-Islam di parlimen. Akhir kalam, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, jangan buat sesuatu sekadar melepaskan batuk di tangga dan kemudian disudahi dengan tohmahan terhadap pihak lain.

Comments