Home Surat Menjawab Farouk A Peru

Menjawab Farouk A Peru

SHARE

Saya tertarik dengan penulisan yang dinukilkan oleh Farouk A Peru dalam Free Malaysia Today yang bertajuk “Salam David Beckham dan ‘apartheid’ baru”.

Dalam penulisannya, Farouk A Peru menempelak tindakan seorang gadis berbangsa Melayu bertudung yang tidak menyambut huluran tangan David Beckham. Bukan itu sahaja, Farouk juga mempertikaikan laporan akhbar The Star yang menyifatkan tindakan gadis muda itu sebagai bertepatan dengan batas pergaulan Islam.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada gadis muda itu yang tetap dan berpegang teguh dengan ajaran agama Islam apabila tidak menyambut huluran tangan David Beckham. Tahniah dan syabas juga kepada kedua ibu bapa gadis tersebut yang berjaya menerapkan ajaran agama Islam dalam pendidikan dan ajaran kepada anak mereka. Kalian antara contoh terbaik kepada anak muda dan ibu bapa di luar sana.

Namun, bagi Farouk, tindakan gadis itu yang menolak untuk bersalam dengan bintang bola sepak terkenal itu disifatkan sebagai apartheid yang mengikut ajaran agamawan yang tidak dapat membezakan agama dan budaya. Tambahnya lagi, peraturan “amalan kecil” ini tidak terdapat dalam al-Qur’an dan bukanlah satu tuntutan Islam.

Farouk mendakwa al-Qur’an hanya menyebut peraturan untuk tidak mendekati zina berdasarkan surah al-Isra’, ayat 32. Jadi, ia tiada kaitan dengan bersalam tangan. Akan tetapi, lupakah Farouk bahawa zina itu wujud apabila nafsu syahwat menguasai diri.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur ayat 30 hingga 31 agar orang beriman menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluannya. Lihatlah, sedangkan mata dan pandangan juga Allah perintahkan untuk kita menjaganya, apatah lagi jika ia melibatkan sentuhan.

Zina itu berlaku apabila perkara-perkara kecil dipandang enteng dan dianggap sebagai tidak salah dan berdosa. “Ah, cuma pegang tangan sahaja. Bukan ada apa-apa pun.” Ini pemahaman yang salah. Ia boleh diumpamakan dengan retakan kecil di dinding rumah. Penghuni rumah akan menganggapnya sebagai perkara yang tidak berbahaya dan hanya membiarkannya sehinggalah keretakan besar berlaku lantas dinding tersebut runtuh. Pada waktu itu, barulah terbit penyesalan kerana tidak segera membaiki retak kecil itu.

Berbalik semula kepada gadis muda tadi. Bukankah itu haknya untuk tidak menyambut huluran tangan David Beckham? Mengapa sibuk mahu mempertikaikannya? Apa yang memalukan, David Beckham dilihat faham dengan keadaan itu dan membalas senyuman gadis tersebut, tetapi ada orang Islam yang menyelar tindakan itu.

Mana hak kebebasan dan asasi manusia yang sibuk dilaung-laungkan selama ini? Pelik rasanya apabila berlaku sesuatu yang cukup indah mengikut ajaran agama Islam, pasti akan dibesar-besarkan oleh golongan yang mengaku dirinya Islam. Namun, apabila berlaku sesuatu yang tiada kaitan dengan Islam tetapi memberi impak buruk yang besar, golongan ini diam tidak berkutik.

Benar Islam itu mudah dan memudahkan. Namun, sengaja meremehkan perkara yang dilarang oleh Allah dan ajaran agama dilarang sama sekali. Di mana bukti yang mengatakan budaya bersalam dengan bukan mahram ajaran budaya? Perbahasan jangan mendekati zina itu banyak dan luas. Jangan hanya mengambil maksud mengikut apa yang diinginkan. Itu namanya sengaja masuk ke dalam bahaya walaupun banyak peringatan sudah diberikan.

Farouk Peru patut cermin diri dan malu sendiri kena cuba membuli anak gadis yang tegas berpendirian. Farouk Peru kena ingat, bukan semua orang sepertinya!

Comments