Home Tempatan Mengimbangkan peranan gender dalam membuat keputusan adalah penting

Mengimbangkan peranan gender dalam membuat keputusan adalah penting

SHARE

KUALA LUMPUR: Terdapat lebih 10 peratus jurang gender dalam membuat keputusan antara lelaki dan wanita di setiap negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), kata Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat), Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Beliau berkata wanita di seluruh dunia sering dikecualikan daripada aktiviti ekonomi walaupun mereka meliputi lebih separuh daripada tenaga kerja dan menambah wanita juga memikul tanggungjawab bagi kerja-kerja yang tidak dibayar.

“Walaupun wanita memberi sumbangan besar kepada keluarga dan komoditi, wanita mempunyai kurang pemerkasaan ekonomi, kurang pendapatan dan kurang mandiri.

“Ketidakseimbangan peranan gender di negara anggota OECD telah menyebabkan ketidakseimbangan dalam membuat dasar,” kata beliau semasa Perhimpunan Wanita Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF 9) di sini pada Rabu.

Beliau berkata di peringkat global, terdapat kurang daripada 25 peratus ahli parlimen wanita yang menyebabkan kaum Hawa mempunyai suara lemah dalam membuat keputusan.

“Sebuah bandar tidak boleh bersifat inklusif atau sememangnya mampan tanpa penyertaan wanita. Justeru, dalam UN Habitat, kami menekankan tentang perlunya bandar dirancang dengan cara yang responsif gender dengan menganjurkan program-program besar seperti mewujudkan bandar lebih selamat, menyediakan ruang awam dan menaiktaraf kawasan sesak,” kata beliau.

Perhimpunan Wanita adalah platform untuk membincangkan tentang cara melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDC) dengan menangani subjek ke arah kesamaan gender dan memperkasakan wanita.

Sementara itu, presiden Suruhanjaya Huairou, Jan Peterson berkata wanita sentiasa menjadi mata dan telinga komuniti tetapi untuk mewujudkan kejiranan yang baik, semua orang, dari atas hingga bawah perlu dikaitkan.

“Kami (wanita) perlu memantau apakah masalah yang berlaku di sekeliling kami yang merupakan komponen penting.

“Walaupun kita boleh berkumpul di peringkat global, kita perlu memastikan kejiranan kita baik dan melaksanakan semua inisiatif. Ini akan menjadikan kita lebih teguh,” kata beliau.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments