Home Tempatan Mengapa LGBT lebih hina daripada binatang? Ini jawapan Al-Quran

Mengapa LGBT lebih hina daripada binatang? Ini jawapan Al-Quran

SHARE

AKHIR-akhir ini, ada kumpulan manusia yang seolah macam tersentap sendiri bila seorang ustazah menyebut “pelaku LGBT lebih hina daripada haiwan.”

Sentapnya itu hingga mengeluarkan komen-komen dan status-status yang dengan jelas menampakkan kejahilan mereka.

Eh, orang baru buka plastik serbuk cili je kot, awat hang dah rasa pedas?

Bagi orang-orang beriman, memanggil orang lain dengan panggilan yang tidak disenanginya adalah dilarang dalam Islam.

Itu adalah adab. Apalagi, dengan mudah-mudah memanggil atau melabel orang sebagai binatang! Sah-sah ia bukan dari akhlak Islam.

Ternyata panggilan dan label sebegitu bukan datang dari mulut seorang manusia. Tetapi adalah panggilan dan label yang turun dari langit ribuan tahun dahulu dan terakam kemas di dalam Al-Quran.

Namun apabila ada yang menyifatkan tulisan ustazah itu adalah hasil kebenciannya dengan kewujudan golongan LGBT, lalu ustazah tersebut melabel mereka  sebagai “haiwan”, saya amat terkejut dan terpanggil untuk menjelaskan.

Ya lah, mungkin penulis itu juga seperti saya suatu ketika dahulu tatkala membaca ayat-ayat sentap dari Allah.

Antara ayat al-Quran yang menyentap kalbu saya suatu masa dahulu ialah ayat 179 dari Surah Al-A’raf. (barangkali seperti tersentapnya puak-puak ini hari ini)

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ (١٧٩)

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan untuk neraka jahannam sebilangan besar dari umat-umat jin dan manusia, iaitu mereka mempunyai hati (tetapi) mereka tidak menggunakannya untuk berfikir, mereka mempunyai mata (tetapi) mereka tidak menggunakannya untuk melihat dan mereka mempunyai telinga (tetapi) mereka tidak menggunakannya untuk mendengar. Mereka sama seperti binatang ternakan, malah mereka lebih sesat lagi. Merekalah orang-orang yang lalai”.

Keras. Memang sangat keras. Masakan saya disamakan seperti binatang ternakan?

Namun sedikit demi sedikit kefahaman saya terhadap ayat tersebut terbentuk. Syed Qutb menyebut dalam kitab tafsir fi zilal al-Quran, manusia ini boleh jadi lebih sesat dari haiwan kerana haiwan itu sememangnya telah dilengkapi dengan kesediaan-kesediaan semulajadi yang dapat memandu hidup seekor haiwan.

Berbeza dengan kita manusia. Manusia telah dibekalkan dengan hati yang sedar, mata yang celik melihat dan telinga yang mendengar (sepatutnya), namun semua yang disediakan itu telah gagal digunakan untuk memandu kehidupannya di dunia.

Lalu, disebabkan kegagalan itulah, manusia boleh jadi lebih sesat dari haiwan.

Begitu juga dalam surah Al-Baqarah ayat 171 sekali lagi Allah menyamakan manusia yang engkar dan kufur seperti binatang.

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنۡعِقُ بِمَا لَا يَسۡمَعُ إِلَّا دُعَآءً۬ وَنِدَآءً۬‌ۚ صُمُّۢ بُكۡمٌ عُمۡىٌ۬ فَهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ (١٧١)

“Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta. Oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya”.

Apabila anggota, deria dan hati sudah tidak dimanfaatkan untuk mengenali Tuhan Maha Pencipta dan mendapat hidayah dari-Nya, maka jadilah mereka seperti binatang ternakan yang sekadar mendengar seruan dan teriakan sahaja, tetapi tidak mengerti apa-apa.

Hakikatnya, perbandingan sebegini adalah kemuncak penghinaan terhadap manusia yang mensia-siakan akal fikirannya lalu seolah-olah telah menutup pintu-pintu ke arah mendapat hidayah dan bimbingan Allah SWT.

أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَ‌ۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً (٤٤)

“Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.”

Ketahuilah wahai kamu, kami tidak memerlukan dendam kesumat (hate) terhadap sesiapa pun untuk menyatakan yang haq.

Cukuplah kalam Tuhan yang benar sebagai pemangkin kami menyatakan kebenaran itu.

Dan ketahui pula oleh kamu bahawa cinta dan benci kami adalah semata-mata kerana Allah. Semoga kami terpelihara dari berkata-kata berlandaskan nafsu semata.

Justeru, usahlah lagi tersentap. Ayuh, kita sama-sama buka kitab. Jangan kerana kejahilan diri, kalam Allah dianggap tidak bererti.

Jangan kerana kedegilan kita, kebenaran dibuat-buat lupa. Jangan kerana keangkuhan tidak bertempat, menjadi penghalang untuk bertaubat!

Akhma Deena Khalid
Aktivis ISMA Seremban

Comments