Home Tempatan Mengaku Pernah Miliki IC Merah, Kulasegaran Janji Selesai Kes IC Merah Lain

Mengaku Pernah Miliki IC Merah, Kulasegaran Janji Selesai Kes IC Merah Lain

SHARE

“Sebagai pemegang kad pengenalan merah suatu ketika dahulu, biar saya memberi jaminan kepada pemegang-pemegang kad pengenalan merah yang ramai di luar sana bahawa Pakatan Harapan kekal komited untuk menyelesaikan kes-kes sebegini sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya kami,” demikian pernyataan yang dimuatnaik oleh Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dalam Facebook beliau pada 21 Jun 2018 lalu.

Sambil menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu atas permasalahan ini, beliau berjanji bahawa kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu akan memperbetul dan mencari jalan penyelesaian.

Dalam video berdurasi 1 minit 21 saat tersebut, M Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen (DAP) Ipoh Barat menyatakan bahawa beliau sendiri adalah pemegang kad pengenalan merah ketika beliau berusia 12 tahun walaupun mendakwa ibu bapa dan datuk serta neneknya dilahirkan di Tanah Melayu. Beliau turut mendakwa bahawa nenek moyangnya telah lama datang bermastautin ke Tanah Melayu semenjak beratus-ratus tahun lamanya.

Abang, kakak dan adik lelakinya telahpun mempunyai kad pengenalan biru kecuali beliau sendiri. Walau bagaimanapun, Kulasegaran berkata bahawa beliau telah berjaya menyelesaikan perkara tersebut dan kini adalah pemegang kad pengenalan biru dan menjadi warganegara Malaysia.

Beliau seterusnya menyatakan dalam video tersebut bahawa isu kad pengenalan merah ini merupakan isu yang fundamental kerana masih ramai di luar sana yang masih belum mendapat kad pengenalan biru dan terpinggir daripada arus pembangunan perdana.

“Ramai yang tidak sedar, bila kamu pegang kad pengenalan merah, kamu tak boleh beli hartanah, tak boleh pergi hospital, tak boleh pergi sekolah kerajaan, tak boleh dapat kerja, tak boleh bayar EPF, dan tak boleh bayar SOCSO,” ujar beliau lagi.

Oleh yang demikian, beliau berjanji Kerajaan Pakatan Harapan akan menyelesaikan perkara ini sesegera mungkin.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, salah seorang Pengasas Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya membuat teguran bahawa isu penduduk tanpa kerakyatan di Malaysia adalah isu semua kaum dan bukan membabitkan kaum India sahaja. Beliau berhujah isu sebegini merupakan kepentingan negara dan tidak boleh dilihat daripada sudut etnik semata-mata.

Teguran beliau boleh dibaca secara penuh di portal Malaysiakini.

Comments