Home Tempatan Menelusuri pemikiran radikal militan Daesh

Menelusuri pemikiran radikal militan Daesh

SHARE

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan pengganas dan ekstremis khususnya militan IS atau Daesh telah membuka lembaran baharu pandangan dunia terhadap Islam, sekaligus mencetuskan ‘Islamophobia’.

Sejak serangan September 11, 2001, Islam dan penganutnya dikecam selain agama itu dipaksikan dalam segala hal berkaitan kemaraan terrorisme.

Namun demikian memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, dan mereka yang lain sejak sekian lama, golongan pelampau boleh wujud dalam mana-mana agama dan masyarakat.

Insiden seorang pemuda menyerang sebuah masjid di Quebec, Kanada menyebabkan enam orang terbunuh baru-baru ini menunjukkan mana-mana golongan manusia tidak terlepas daripada pemikiran melampau tidak kira agama mereka.

Tetapi dalam konteks IS atau Daesh apakah ideologi yang didukung mereka yang mendorong ke arah keganasan dan tindak-tanduk yang tidak selari dengan ajaran sebenar Islam.

Fahaman Salafi Jihadi

Menelusuri pemikiran militan IS atau Daesh, Pakar Kajian Strategik dan Keganasan Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata gerakan atau kumpulan itu mengamalkan fahaman ‘Salafi Jihadi’ yang menerima pakai pandangan tokoh Islam kontroversi Ibnu Taimiyah.

Pandangan Jihad dan Daulah Islamiyah tokoh itu kemudian dikembangkan kepada konsep jihad berdasarkan pandangan perjuangan Briged Abdullah Azzam, iaitu Al-Qaeda di Lubnan, yang lebih menjurus kepada ‘Jihad Takfiri’, yang menggesa pengikut aliran itu melaksanakan jihad dengan cara kekerasan.

“Islam dikatakan hanya akan tertegak dengan cara jihad bersenjata dan menghapuskan kerajaan yang tidak Islamik. Aliran Briged Abdullah Azzam ini kemudian dilaksana oleh kumpulan bersenjata di Afghanistan yang dipimpin oleh bekas presidennya Burhanudin Rabbani dan bekas perdana menteri Gulbuddin Hekmatyar semasa negara itu diduduki Russia.

“Ketua Al-Qaeda Osama Bin Laden dalam perjuangannya di Afghanistan menentang pendudukan Amerika dan tentera bersekutu turut menjadikan pandangan itu sebagai rujukan malah keadaan itu berterusan sehinggalah ke hari ini.

Saya tidak mengatakan Ibnu Taimiyyah pengganas, tetapi pandangan dan aliran fahaman beliau telah dijadikan rujukan utama dan asas perjuangan para pendukung ekstremis dan radikalis,” katanya kepada Bernama.

Mohd Mizan, yang juga Pengarah Institut Kajian Penyelidikan Strategik Malaysia (MyRISS), berkata kebanyakan pegangan anggota kumpulan militan IS atau Daesh adalah terhad kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis tertentu bagi menyokong perjuangan mereka, manakala yang tidak menyebelahi mereka akan ditolak.

“Disebabkan mereka mengambil sekerat-sekerat (sebahagian) sahaja dan bukan dalam konteks ayat dan maksud penuh, maka itulah mereka berpegang kepada pandangan yang keras dan mudah mengkafirkan orang lain,” jelasnya.

Pilih ‘Shortcut’

Turut menyentuh mengenai agenda perjuangan golongan itu, Mohd Mizan berkata, ia berlandaskan dua faktor iaitu melaksanakan perintah jihad dan menubuhkan Daulah Islamiyyah.

“Mereka faham bahawa jihad adalah tanggungjawab setiap insan di muka bumi ini. Bagaimanapun, keadaan ini diburukkan dengan perasaan berdosa yang menghantui mereka, lebih-lebih lagi dosa silam dan kehidupan yang penuh maksiat. Lalu mereka percaya, satu cara untuk kembali kepada Islam adalah dengan mengambil ‘shortcut’ iaitu berjihad, dan jika terbunuh maka hapuslah segala dosa yang dilakukan sebelum ini.

Kebanyakan mereka yang terlibat dalam kegiatan ini adalah mereka yang lebih mudah melihat sesuatu perkara itu secara objektif, hitam atau putih sahaja dan tiada bahagian yang kelabu. Ini berbeza dengan mereka yang melihat sesuatu itu secara subjektif,” katanya.

Bagi tujuan menubuhkan Daulah Islamiyyah pula, Mohd Mizan berkata golongan itu percaya ia adalah sebahagian daripada tuntutan Islam serta keperluan bagi umatnya.

“Mereka berpandangan, sistem demokrasi yang diamalkan negara-negara Islam diwarisi daripada barat dan tidak berlandaskan Islam.

“Bagi mereka, sistem Islam yang sebenarnya adalah sistem Daulah Islamiyah dan musyawarah. Untuk itu, Daulah Islamiyah mestilah ditegakkan semula di muka bumi ini dan langkah menubuhkan kembali negara Islam adalah melalui ‘jihad qital’ iaitu jihad dengan mematikan musuh-musuh Islam,” jelas beliau.

Cemar imej Islam

Pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ahmad El Muhammady berpendapat militan IS atau Daesh telah membawa ideologi ‘exclusivism’ yang meyakini bahawa mereka adalah kumpulan yang dipilih Allah untuk menyelamatkan manusia.

Hakikatnya, mereka telah membawa banyak kerosakan kepada agama dan umat Islam seperti yang diakui oleh Muhammad al-Maqdisi, mentor kepada Abu Mus’ab al-Zarqawi, pemimpin Al-Qaeda di Iraq.

“Di Hari Raya korban (Aidiladha), mereka menyembelih manusia seperti binatang ternakan. Apakah ini ajaran Islam? Apa yang Islam dapat? Jelas ia satu kumpulan yang mencemarkan imej Islam dan bukan membawa kebaikan.

“Ideologi mereka disebarkan ke seluruh dunia termasuk Malaysia khususnya melalui media sosial. Ini menyebabkan beberapa rakyat kita terikut-ikut dan ingin melakukan aksi ganas yang sama seperti kes letupan yang berlaku di Puchong sebelum ini yang jelas merupakan satu ancaman kepada negara,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan ideologi ekstremis ini daripada permulaan aliran pemikiran keras sehingga kepada mengangkat senjata, Ahmad yang juga Felo Kanan di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) berkata kemunculan garis keras dalam dunia Islam bukanlah satu peristiwa baharu.

Ulas beliau, daripada segi sejarah ia sudah wujud sejak zaman Khalifah keempat dalam pemerintahan Khulafa’ Arrasyidin dan Saidina Ali, di mana kumpulan yang dikenali sebagai ‘Khawarij’ menghukum kafir sesiapa yang enggan mengikut mereka selain menyeru semua pengikut mengangkat senjata untuk melawan kerajaan Islam.

“Kumpulan jenis ini wujud dalam semua zaman sehinggalah ke hari ini bahkan pada pandangan beberapa tokoh Islam, militan IS atau Daesh ini lebih teruk daripada Khawarij. Biasanya, golongan seperti ini akan menggunakan slogan ‘kembali kepada Islam yang tulen’ untuk menarik sokongan umat Islam.

“Namun, lama-kelamaan wajah sebenar mereka akan terzahir apabila banyak melakukan aktiviti yang menyalahi ajaran Islam seperti membunuh orang secara kejam atas nama agama,” katanya.

Turut menyentuh mengenai penggunaan pandangan ulama kontroversi dalam  jihad golongan itu, beliau berkata ia sememangnya fakta yang tidak boleh disangkal. Malahan boleh didapati secara jelas melalui fatwa dan buku keluaran golongan itu seperti Idarah al-Tawahhush oleh Abu Bakar Naji dan Da’wah al-Muqawwamah al-Islamiyyah al-‘Alamiyyah oleh Abu Mus’ab al-Suri.

“Oleh kerana pandangan dan ijtihad tokoh ini agak keras ekoran keadaan sosio-politik ketika itu, militan IS atau Daesh gemar menggunakan hujah-hujah itu kerana bersesuaian dengan matlamat politik dan perjuangan mereka,” jelas beliau.

Ruangan sisi konsep wasatiyyah

Media banyak melaporkan warga Malaysia diberkas pihak berkuasa kerana pembabitan mereka dalam IS atau Daesh. Bagaimanapun, adakah penangkapan mereka ini akan dapat menghentikan ideologi IS atau Daesh daripada terus merebak?

Mohd Mizan dan Ahmad berpendapat pelaksanaan undang-undang dengan menangkap anggota kumpulan itu dan mengasingkan mereka daripada masyarakat bagi tujuan pemulihan pemikiran seperti yang dilakukan sekarang adalah bertepatan.

Kedua-dua mereka juga bersetuju yang pendekatan ‘lembut’ melalui pendidikan dan penerangan berterusan kepada masyarakat beserta konsep wasatiyyah perlu berjalan seiring.

“Mereka berpaksikan kepada ajaran-ajaran pemimpin yang ekstrem, radikal serta keras pendekatannya terhadap isu-isu berkaitan Islam, jihad, hudud dan lain-lain. Justeru, pandangan Islam yang sederhana dan penuh berhemah perlulah diterapkan.

“Selain itu, silibus kurikulum mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah-sekolah perlu dikaji semula. Topik jihad yang lebih luas dan menyeluruh perlulah diajar kepada anak sejak sekolah rendah kerana pemahaman tepat dan jelas berkaitan Islam penting untuk mereka terutama ketika dunia berhadapan ancaman dunia baharu ini,” kata Mohd Mizan. –Bernama

Sinar Online

Comments