Home Tempatan Menangani perbezaan sikap

Menangani perbezaan sikap

SHARE

PEPATAH Melayu ada mengatakan; rambut sama hitam tetapi hati lain-lain, menunjukkan kematangan budaya kita dalam menerima perbezaan pendapat.

Masyarakat kita akur dengan sifat manusia yang tidak mungkin sehaluan pendapat dalam setiap perkara dan ruang disediakan undang-undang bagi golongan tidak berpuas hati cara pentadbiran negara untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka dalam cara aman dan munasabah, antaranya melalui pilihan raya.

Malah, undang-undang juga memperuntukkan jika kita tidak berpuas hati dengan mana-mana tindakan atau tinggalan pihak berkuasa awam, kita boleh memohon mahkamah menyemak semula tindakan atau tinggalan tersebut melalui suatu proses yang dinamakan semakan kehakiman.

Sudah banyak permohonan semakan kehakiman dibenarkan mahkamah terhadap pihak berkuasa awam. Di samping itu pula, permohonan-permohonan lain juga boleh dibuat di mahkamah bagi mengkaji semula sesuatu perbuatan atau tinggalan pihak berkuasa awam termasuklah pihak kerajaan.

Saya sangat tertarik dengan jawapan diberikan Dr Zakir Naik semasa program ijtimak cendekiawan bersama beliau pada 16 April lepas. Beliau ditanya bagaimanakah mahu membanteras rasuah dalam kalangan pemimpin di Malaysia?

Jawapan bersahaja beliau ialah, bagi membanteras gejala rasuah yang berleluasa ini, kita hendaklah memulakan dengan diri kita sendiri. Jika kita sendiri tidak memberi atau menerima rasuah, maka perbuatan rasuah tersebut tidak akan berlaku. Bayangkan jika setiap dari kita tidak menjadikan rasuah sebagai pilihan, sudah pasti tiada rasuah yang akan berlaku.

Memang tidak dinafikan, terdapat peruntukan undang-undang bagi mengekang, mengawal, membanteras dan menghukum orang yang melakukan rasuah. Tindakan undang-undang ini perlu diambil bagi menangani gejala rasuah.

Namun, pendidikan dan sikap yang betul perlu diambil masyarakat, sangat penting bagi membanteras rasuah ke akar umbinya. Keimanan yang utuh kepada ALLAH SWT dan ketakwaan yang tinggi pasti akan dapat menjauhkan umat Islam dari mengambil atau memberi rasuah dalam apa jua keadaan.

Namun, apa yang menyedihkan ialah ada dalam kalangan masyarakat tidak memilih jalan dan ruang disediakan ini, tetapi mengambil jalan lebih popular dengan menabur fitnah, tohmahan dan dakwaan tanpa memerlukan pembuktian ketat. Malah segelintir masyarakat seolah-olah mahu membalas dendam dengan pelbagai tindakan yang akhirnya menjerumuskan negara kepada kehancuran dan perpecahan.

Perbuatan membalas dendam seperti ini membawa umat Islam khususnya, kembali ke zaman jahiliah sedangkan sepatutnya sebagai umat yang diajar dengan ajaran mulia, kita telah membebaskan diri dari perangkap hasad dengki dan membalas dendam.

Pemerintah yang tidak boleh berkompromi langsung mengenai perbezaan pendapat dan mengambil tindakan ekstrem dengan menghapuskan rakyatnya sendiri adalah pemerintah kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Contoh pemimpin terbaik adalah Rasulullah SAW sebagai panduan utama kita. Antara sifat ditonjolkan baginda sebagai amanat kepada seluruh umat Islam adalah kemaafan serta menolak kejahilan seperti keangkuhan ego dan materialistik.

Umpamanya semasa pembukaan Kota Makkah oleh tentera Islam diketuai Rasulullah SAW pada tahun 8 Hijrah, Baginda telah memerintahkan sahabat-sahabatnya memanggil kesemua penduduk Quraisy Makkah untuk bertemu dengannya di hadapan Kaabah dengan janji bahawa mereka tidak akan diapa-apakan.

Apabila Rasulullah bertanya kepada Quraisy Makkah pada fikiran mereka apakah yang akan dilakukan Rasulullah terhadap mereka, Quraisy Makkah telah menjawab; “Saudara mulia, anak kepada saudara kami yang mulia.” Rasulullah mengisytiharkan bahawa baginda memaafkan mereka dan membebaskan mereka dengan menyatakan bahawa; “Wahai Quraisy, kamu semua daripada Adam AS dan Adam berasal dari tanah. Maka buangkanlah sifat angkuh dan sombong kamu.”

Hikmah Rasulullah SAW memaafkan kaum Quraisy memberi iktibar kepada kaum Quraisy pada masa itu dan kepada kita pada masa kini bahawa Rasulullah bukannya bermusuh dengan Quraisy, tetapi dengan sikap angkuh dan sombong mereka.

Walaupun Quraisy pada asalnya merupakan musuh utama Rasulullah dan umat Islam serta telah memerangi Rasulullah dan tentera Islam dalam peperangan, sikap memaafkan oleh Rasulullah cukup menyentuh jiwa mereka.

Kaum Quraisy akhirnya memahami hikmah ini yang mendorong kebanyakan mereka memeluk agama Islam dan seterusnya ramai menyertai ekspedisi peperangan riddah (peperangan terhadap golongan murtad) serta ekspedisi peperangan terhadap kerajaan Parsi dan Roman dalam usaha kerajaan Khalifah Islam menyahut seruan dakwah agama ke seluruh alam dan menjadi wira dalam sejarah Islam.

Rasulullah telah berjaya memerangi sikap keangkuhan dan kesombongan serta kepercayaan jahiliah Quraisy dan menggambarkan kepada masyarakat Islam kepentingan mendidik jiwa dan rohani umat Islam dibandingkan dengan menghukum semata mata.

Sinar Online

Comments