Home Tempatan Menang Olympiad Matematik, Bukti Tolak Tohmahan Negatif

Menang Olympiad Matematik, Bukti Tolak Tohmahan Negatif

SHARE

SARAWAK: Kejayaan pelajar sekolah agama dan pusat tahfiz mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dalam pertandingan Matematik baru-baru ini secara tidak langsung menolak persepsi negatif terhadap kualiti pembelajaran dan keselamatan institusi pendidikan berteraskan agama Islam di negara ini.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) Abdullah Osman berkata, jelas pusat tahfiz dan sekolah agama juga mempunyai peranan dalam melahirkan pelajar-pelajar cemerlang di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, di Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub (MATTARY), kita mengimbangi antara kedua ko-kurikulum, pertama dari segi hafazan al-Quran dan kedua ialah akademik mata pelajaran biasa.

Beliau berkata, sehingga kini, prestasi hafazan pelajarnya boleh mencapai sehingga 10 juzuk bermula tahun satu sehingga tahun 6.

“Sekolah ini berjalan serentak antara hafazan dan turut merangkumi akademik dan sehingga kini tidak ada pelajar yang ketinggalan dari segi akademiknya mahupun ilmu agama,” katanya.

Abdullah berkata, kita perlu mempunyai kesabaran dan kecekalan yang tinggi bagi mendidik anak-anak ini memandangkan mereka masih di awal usia.

“Guru-guru juga perlu bersikap profesional selain menjalankan tugas berdasarkan peraturan-peraturan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan cemerlang Jad Haris Sabaruddin, 12, di level 4, memenangi pingat emas dalam Pertandingan Matematik Dunia (WMC2017) yang berlangsung di Manila, Filipina, baru-baru ini telah membuka mata rakyat Malaysia bahawa institusi pembelajaran di sekolah-sekolah agama dan tahfiz juga mempunyai kualiti yang sangat baik.

“Ini sekaligus membuktikan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz juga mempunyai kehebatan dan kebijakan bukan sahaja dari segi hafazan malah dari sudut bidang akademik juga,” katanya.

Menurutnya, seluruh guru-guru serta kakitangan sekolah merasa amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Jad Haris malah bukan sahaja ibu bapa, sekolah dan penduduk setempat mahupun rakyat Malaysia bahkan beliau turut mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Kita berharap beliau menjadi role-model kepada pelajar-pelajar yang lain bagi mengikuti kejayaan yang telah dicapai oleh Jad Haris,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan ini juga jelas menunjukkan pelajar hafazan Al-Qur’an ini juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri, pelajaran hafazan yang dipelajari memberi kelebihan untuk mereka mengaplikasikannya kepada subjek-subjek mata pelajaran yang lain.

Menurut Abdullah, untuk menyelarikan kedua-dua prinsip ilmu ini, pelajar-pelajar perlu mempunyai displin yang tinggi bagi mencapai kejayaan seperti yang diharapkan, sehingga membolehkan mereka membawa kedua-dua ilmu ini secara seimbang bukan sahaja terhadap hal pelajaran bahkan ke dalam kehidupan seharian mereka.

Beliau berkata, walaupun sekolah ini baru sahaja ditubuhkan sekitar lima tahun kebelakangan ini namun, telah banyak kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dan kejayaan yang paling menonjol setakat ini ialah kejayaan Jad Harris.

Mengenai isu yang melanda adik Thaqif baru-baru ini, beliau berkata, pihak sekolah mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada seluruh warganya termasuk guru-guru dan ibu bapa serta ahli keluarganya.

Abdullah berkata, kita perlu melihat secara keseluruhan dan tidak sepatutnya kejadian malang yang berlaku itu dijadikan tohmahan negatif untuk keseluruhan pusat tahfiz.

“Kita tidak boleh menghakimi secara sebelah pihak sehingga memberi gambaran negatif terhadap semua pusat tahfiz mahupun sekolah beraliran agama dan sebagainya.”

“Sekolah tahfiz ini membentuk modal insan yang begitu mantap sekaligus mampu memberi kesan positif kepada kehidupan pelajar pada masa hadapan dalam membentuk jati diri mapan serta akhlak rabbani,” katanya.

Beliau berkata, faktor kejayaan murid-murid juga mencakupi pelbagai sudut termasuk peranan ibu bapa dan guru-guru yang memberi sokongan dan tunjuk ajar sehingga pelajar mampu meraih kejayaan yang diharapkan.

Sementara itu, Penolong Kanan Ko-Kurikulum (PKKK) Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, Sarawak, Adenan Abdul Aziz berkata, kejayaan yang dicapai ini membuka mata pihak-pihak tertentu yang selama ini sering memberi memberi tafsiran negatif terhadap pusat tahfiz mahupun sekolah aliran agama sekaligus, dapat mengangkat kualiti dan merapatkan jurang antara sekolah-sekolah yang lain.

Menurutnya, kejayaan yang dihadiahkan oleh pelajar Najmi Asyraf Abdul Halim, 10, begitu membanggakan nama sekolah beraliran agama ke peringkat antarabangsa sekaligus menolak tohmahan negatif yang dimainkan media massa terhadap beberapa isu-isu negatif walaupun begitu terpencil.

Beliau berkata, sebelum ini kita sering mendapat tempat ke peringkat kebangsaan namun ini adalah kejayaan besar sehingga mendapat kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Sepertimana yang kita anjurkan program-program kecemerlangan khusus untuk pelajar-pelajar, keterlibatan dan peranan ini bukan sahaja datangnya daripada guru-guru bahkan pendorong kejayaan serta sokongan padu adalah dari ibu bapa pelajar-pelajar sendiri,” katanya.

Menurut Adenan, untuk pengetahuan semua, bapa kepada Najmi Asyraf iaitu Encik Abdul Halim Idris merupakan cucu kepada Datuk Haji Abdul Kadir Hasan yang merupakan Bekas Mufti Sarawak yang kedua dan Najmi Asyraf adalah cicit kepada beliau.

“Bagaimanapun, Najmi ini dari segi luaran penampilan dia biasa sahaja namun dia merupakan seorang yang aktif dari segi akademik dan sukan juga,” katanya.

Bercerita mengenai sejarah latar belakang sekolah ini Adenan berkata, pada awal penubuhannya dikenali sebagai Sekolah Rendah Majlis Agama Islam Sarawak yang ditubuhkan pada 4 Januari 1985 dengan jumlah pelajar ketika itu seramai 56 orang dan 7 orang tenaga pengajar termasuk guru besar.

Menurutnya, sekolah yang dirasmikan pada 24 September 1988 oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu dan sekaligus diberi nama Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan iaitu merupakan Mufti Sarawak yang kedua.

“Sebelum itu, sekolah ini beroperasi di Dewan BINA (HIKMAH) dan kemudian berpindah ke bangunan lama Madrasah Melayu di Jalan Jawa di bawah Pentadbiran Majlis Agama Islam Sarawak (MIS),” katanya.

Beliau berkata, kini jumlah pelajar telah mencapai 1,225 orang dan tenaga pengajar 86 orang termasuk guru dari JAIS dan guru J-QAF. Kemudian, pada tahun 1990 sekolah ini diambil alih oleh Jabatan Pendidikan Sarawak, namun JAIS masih terlibat dalam penyelenggaraan bangunan sehinggalah pada tahun 2012 ianya mula dikenali sebagai SABK, KPM.

Adenan berkata, pihaknya menyarankan kepada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tahfiz atau sekolah agama perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.

Menurutnya, kemasukan pelajar-pelajar di sini perlu melalui beberapa tapisan dan saringan bagi mengekalkan gred sekolah dan kualiti pelajarnya agar suasana pembelajaran yang baik dapat dikekalkan.

Beliau berkata, sebenarnya, di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan ini juga turut memberi pendedahan kepada bahasa Arab, ilmu-ilmu agama dan lain, berlainan sedikit dengan pusat tahfiz yang merupakan sekolah persendirian dan hanya memberi penekanan terhadap hafazan Al-Quran, bagaimanapun, kedua-dua sekolah ini mempunyai kebaikan dan kelebihan tersendiri.

Menurut Adenan, di sini, pihak sekolah turut menyertai pertandingan sukan termasuk bolasepak dan tenis di peringkat kebangsaan serta taekwando di peringkat antarabangsa dan kebanyakannya mencapai kejayaan yang diharapkan.

“Sekolah kami juga banyak melahirkan pemain-pemain catur di peringkat kebangsaan serta termasuk lebih 4 peserta mewakili peringkat negeri.”

Justeru katanya, dakwaan negatif yang mengatakan sekolah-sekolah beraliran agama ini tidak begitu cemerlang adalah tidak benar.

“Bahkan, bukan sahaja dari segi hafazannya, malah dari segi akademik dan ko-kurikulum juga mempunyai kejayaan, cuma ia kurang didedahkan di media massa sahaja,” katanya.

Beliau berkata, harapannya supaya semua pelajar meneruskan legasi kejayaan demi kejayaan yang telah diraih sekolah ini dalam memberi pendedahan di samping membentuk generasi yang bukan sahaja mencapai kejayaan di dunia bahkan membentuk akhlak generasi yang murni dan bijak selaras dengan Sunnah Rasullullah SAW.

Menurutnya, kebanyakan pusat tahfiz lebih memfokuskan kepada hafazan Al-Quran, cuma sedikit kepada akademik ataupun mata pelajaran biasa, namun ianya bergantung kepada ibu bapa dan pelajar untuk belajar di mana, kedua-duanya pun baik.

Comments