Home Pendapat Memerangi radikal Islam: Apa pendirian kita?

Memerangi radikal Islam: Apa pendirian kita?

SHARE

DONALD TRUMP dalam ucapan sulungnya ketika memulakan tugasnya sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-45 pada Jumaat lalu, antara lainnya menyatakan bahawa Amerika akan berpadu untuk menghancurkan sama sekali golongan radikal Islam.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana Trump adalah pe­ne­rusan kepada prasangka dan kekeliruan terhadap Islam yang sebenarnya. Bagaimanapun Pre­siden AS yang baharu ini nampaknya lebih berterus terang dalam hal ini, tanpa banyak berdiplomasi dan bersembunyi.

Hal ini mungkin lebih memudahkan umat Islam dalam memahami masalah umat Islam sendiri, dan menyusun strategi yang lebih baik untuk menghapuskan salah fahaman tentang Islam yang sengaja direka-rekakan itu.

Sebenarnya, Islam adalah agama yang paling pesat membangun di Barat. Tetapi dalam masa sama, Islam agama yang paling sukar difahami di sana dan banyak sekali menimbulkan kekeliruan. Barat mempunyai gambaran stereotaip dan prasangka terhadap Islam, yang antara sebabnya kerana laporan media mereka yang se­ring menonjolkan Islam sebagai agama ekstremis, fundamentalis, pengganas dan kepelbagaian label negatif lainnya.

Hal ini menjadi lebih serius lagi, apabila Barat melihat realiti masyarakat dan negara Islam yang sering berada dalam konflik dan peperangan sesama sendiri, jihad yang berdasarkan pengebom bunuh diri, peristiwa 11 September dan sebagainya yang disalah mengertikan dengan sengaja atau tidak sengaja.

Gambaran stereotaip tentang Islam di dalam media Barat dan seperti yang difahami oleh orang Barat, sebenarnya bukanlah satu perkara baharu dalam pertembungan antara Islam dan Barat.

Masalah ini sebenarnya boleh dikesan kembali jangka masa yang lama dulu, ketika Islam dan Kristian terlibat di dalam perang salib pada tahun 1100, demikian juga dalam konflik empayar Othmaniah ketika Islam berjaya mengembangkan sayapnya ke Eropah yang dianggap sebagai ancaman kepada agama Kristian dan gereja serta pemerintah mereka.

Malah ramai pengkaji Islam dan penulis-penulis yang telah memberikan istilah ‘peperangan dunia keempat’ ketika mengulas tentang pertembungan yang berlaku di antara Barat dan Islam yang amat nyata ketika ini, yang dapat dilihat jelas kesannya de­ngan kenyataan Trump di atas.

Media Barat telah menggambarkan banyak kekeliruan, terutamanya tentang perjuangan Is­lam yang suci seperti beberapa istilah yang telah di­selewengkan. Istilah jihad umpamanya diselewengkan konsepnya oleh Barat, iaitu yang ditafsirkan sebagai holy war untuk membunuh orang bukan Islam, sedangkan jihad dalam bentuk asalnya adalah yang melibatkan peperangan untuk mempertahankan agama dan akidah daripada diceroboh musuh.

Alasan ini sering juga digunakan di Barat bahawa Islam ter­sebar dengan pedang, kerana ko­­nonnya memaksa orang bukan Islam sama ada memeluk Islam atau mati dibunuh. Inilah pengertian jihad yang sering dimomokkan sebagai amalan umat Islam sedangkan jihad dalam bentuk memerangi syaitan dan hawa nafsu, menuntut ilmu dan meme­rangi kemiskinan dan sebagainya, tidak pernah diberikan perhatian.

Sungguhpun Barat sering menuding jari kepada golongan pelampau Islam sebagai pengganas dan fundamentalis tetapi hakikatnya keganasan dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini sering berlaku tanpa mengira agama dan bangsa, tempat dan kawasan. Keganasan boleh berlaku di dunia maju dan dunia membangun, dunia Barat dan Timur, dunia Islam dan bukan Islam, malah selagi manusia bernama manusia, maka selama itulah keganasan akan mengambil tempat di tengah-tengah pentas dunia.

Pemberontakan di Ireland Uta­ra umpamanya berlarutan begitu lama, iaitu yang dilancarkan kerana konflik politik dan agama oleh Irish Republican Army (IRA), dan sehingga kini banyak insiden berdarah yang sering berlaku.

Atas dasar inilah maka seruan agar manusia kembali kepada sifat rasional dan menghayati semula fitrah kemanusiaannya adalah satu agenda Islam yang paling penting dan seharusnya diperjuangkan masyarakat antarabangsa.

Ketika berada di Arab Saudi sebagai Duta Malaysia di sana, penulis mendapat gambaran yang amat baik dari negara tuan rumah, Arab Saudi, dan perwakilan asing di sana, termasuk perwakilan negara-negara Eropah, Afrika, Asia dan lain-lain tentang model Malaysia sebagai negara berbilang etnik yang aman damai, mengamalkan dasar hubungan kaum yang baik, serta dasar negara yang terbuka tentang toleransi kaum dan agama, yang amat jarang sekali terdapat di negara berbilang kaum yang lain.

Untuk meneruskan rentak positif negara kita ini, maka kita haruslah bersedia menghadapi cabaran dalam situasi yang me­runcing sekarang ini di dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan pengurusan negara, kerana ketidakstabilan dalam bidang-bidang ini akan menghancurkan negara kita.

Umpamanya, kemunduran ne­gara-negara Islam dalam pembangunan ekonominya, berkemungkinan besar kerana umat Islam merasakan mereka tidak seharusnya mengejar kebendaan dan terlalu ghairah untuk mencari kekayaan dunia ini, demikian juga ketinggalan dalam bidang teknologi dan ilmu pengetahuan, mungkin juga kerana sikap mereka yang sambil lewa dalam me­nuntut ilmu.

Perangkaan yang dibuat oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa 53 peratus daripada ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah dalam kategori negara yang berpendapatan rendah, iaitu kira-kira separuh daripada negara dunia yang berpendapatan rendah. Negara-negara OIC yang berpendapatan tinggi pula hanya sembilan peratus daripada keseluruhan negara anggota OIC.

Hal ini menunjukkan bahawa rata-rata negara Islam masih berada dalam kategori negara miskin dan mundur manakala rakyatnya pula hidup sengsara dengan taraf kesihatan yang daif, buta huruf, kebuluran, ketinggalan dalam pendidikan dan banyak masalah lain lagi.

Tidak syak lagi bahawa hal ini akan berterusan menjadi cabaran untuk umat Islam sekiranya sistem pendidikan, perekonomian, politik dan urus tadbir negara sendiri tidak dijalankan menurut acuan dan mekanisme Islam.

Ilmuwan Islam pula umumnya masih bersengketa dalam isu-isu remeh-temeh, jauh daripada agenda pembangunan ummah dan menyimpang daripada perjuangan arus perdana Islam serta cabaran-cabaran moden yang dihadapinya termasuk usaha musuh Islam untuk menghancurkan Islam atas tiket memerangi radikal Islam seperti yang disuarakan oleh Presiden AS itu.

PROF. DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

utusan online

Comments