Home Tempatan “Memelihara Islam Pada Setiap Masa”-Sultan Muhammad V

“Memelihara Islam Pada Setiap Masa”-Sultan Muhammad V

SHARE

Putrajaya: Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah bersumpah untuk mempertahankan Islam, Agama bagi Persekutuan, pada setiap masa pada sesi upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-15 lepas.

Pada sesi bacaan ikrar oleh Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah bersumpah untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan amanah.

Sebaik sahaja selesai ikrar dilafazkan, tiupan serunai dan paluan gendang dengan lagu “Raja Bertabal” dimainkan dan ini diikuti dengan laungan “Daulat Tuanku” sebanyak 3 kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti hadirin di dalam Balairung Seri.

Majlis yang berlangsung dengan penuh adat-istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu yang berlangsung pada 24 April lepas, telah disaksikan jutaan rakyat Malaysia dengan penuh rasa gembira.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah unik untuk Malaysia dan merupakan kesinambungan kepada tradisi pemerintahan Raja-Raja Melayu sejak zaman-berzaman.

Pada 13 Disember tahun lalu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara.

Comments