Home Pendapat Membidas Chandra Muzaffar

Membidas Chandra Muzaffar

SHARE

Merujuk kepada satu artikel bertajuk ‘Sekular Itu Suci, Agama Ciptaan Manusia’ yang diterbitkan oleh Menara.my pada 2 Mac 2017, kita dimaklumkan bahawa Dr. Chandra Muzaffar telah membuat satu sesi bedah buku tulisan Muhammad Iqbal (1875-1938) yang bertajuk “Reconstruction of Religious Thought in Islam”.

Hasil dari usahanya untuk membedah buku ini, Dr Chandra Muzaffar telah membuat beberapa kesimpulan berdasarkan pemahamannya terhadap buku itu. Namun konklusi yang dibuat ini menampakkan masalah dari pelbagai aspek. Menurut Dr Chandra, terdapat 3 tema utama dalam buku tersebut iaitu konsep ketuhanan, konsep kekhalifahan dan yang ketiga adalah tanggapan hubungan antara Islam dan Sekular.

Sehubungan itu, Dr Chandra Muzaffar telah memberi pengenalan kepada satu konsep baru iaitu ‘Sekular itu Suci’. Sebelum merungkai hujah ini, kita perlu merujuk kepada sejarah penulis itu sendiri. Muhammad Iqbal adalah seorang ahli falsafah, dan apa yang dikatakan oleh beliau harus dilihat dari kerangka ahli falsafah dan bukan kacamata liberalisme. Ini kerana Muhammad Iqbal bukan seorang liberal, maka dalam mentafsir kata-kata beliau, perspektif yang digunakan haruslah mencerminkan keperibadian Iqbal dan bukan Chandra Muzaffar.

Selain daripada itu, jika asas liberalisme digunapakai sebagai kayu ukur, maka akan tersasar dari matlamat sebenar penulisan Iqbal.

Untuk mengatakan demikian dengan memetik sebahagian daripada kata-kata Iqbal adalah satu kezaliman. Terdapat dua ayat yang tidak ditekankan kepentingannya oleh Dr Chandra. Mari kita lihat ayat-ayat tersebut. Iqbal berkata,

“Realiti Mutlak menurut al-Qur’an adalah berbentuk rohani, dan kehidupannya dalam aktiviti temporal (tertakluk pada masa). Rohani akan menemui peluang dalam alam,  kebendaan, dan sekular. Semua yang sekular dengan itu adalah suci dalam asas kewujudannya.”

Rujukan kepada sekular di dalam konteks ini adalah kerohanian menurut al-Quran. Dan dalam bacaan seterusnya,

“Teori negara Nasionalis dengan itu adalah menyimpang kerana mencadangkan dualisme yang tidak wujud di dalam Islam.”

Dualisme ini merujuk kepada dikotomi atau perpisahan antara Islam dan pentadbiran negara. Maka jelas, hujah ini tidak boleh digunakan untuk memudahkan cara atau kaedah penerimaan sekularisme di kalangan umat Islam.

Ternyata Islam itu syumul dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk hubungan dengan Tuhan dan hubungan dengan manusia. Kata-kata nukilan seorang ahli falsafah harus dinilai dari perspektif falsafah dan bukan pandangan manusia biasa.

Comments