Home Tempatan Membantu institusi pendidikan Islam

Membantu institusi pendidikan Islam

SHARE
Gambar Hiasan

TULAR di media arus perdana dan media sosial apabila kematian seorang pelajar tahfiz di selatan tanah air didebatkan. Pelbagai cadangan dan harapan dikemukakan bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali pada masa hadapan.

Penulis mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang prihatin dan ikhlas memberi pandangan dalam penambahbaikan institusi pendidikan Islam di seluruh negara.

Ruangan kali ini tidak berhasrat untuk membela orang yang melakukan perbuatan tidak wajar tersebut, sekolah tahfiz mahupun keluarga mangsa kerana penulis percaya proses undang-undang akan mengambil tempat tidak berapa lama lagi.

Untuk rekod penulis ingin merakamkan rasa dukacita ke atas kematian pelajar tahfiz tersebut dan berdoa agar rohnya ditempatkan bersama roh orang beriman. Saya juga mendoakan agar keluarga mangsa tabah dalam menghadapi ujian ini.

Ruangan ini hanya mengulas reaksi pelbagai pihak yang mengutarakan cadangan dan pandangan mereka. Namun banyak cadangan yang saya perhatikan sangat menyedihkan sehingga ada menyarankan agar semua sekolah tahfiz ditutup bagi mengelakkan insiden sebegini berulang. Inilah yang disebutkan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Ironinya, hanya apabila institusi Islam terbabit dalam suatu perkara, tidak baiklah keseluruhan institusi diganyang. Hal demikian tidak berlaku jika kesilapan dilakukan institusi yang tidak menggalas nama Islam.

Sebagai tamsilannya, apabila berlaku kemalangan maut tidak lama dahulu yang melibatkan banyak nyawa, tidak pula ada menyarankan agar lebuh raya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau Jabatan Kerja Raya umpamanya ditutup.

Malah pelbagai saranan untuk penambahbaikan dikemukakan dari semasa ke semasa. Bahkan dalam banyak keadaan jawatankuasa khas dibentuk bagi menggarap tindakan lebih ampuh menangani permasalahan timbul.

Kenapa dalam aspek yang sama sebegini saranan penambahbaikan tidak diberi laluan kepada institusi Islam? Bagi penulis, kesalahan yang berlaku bukanlah kesalahan organisasi tetapi individu atau pelaksanaannya sahaja. Oleh itu tumpuan mestilah diberikan terhadap menambahbaik dan memurnikan piawaian ataupun prosedur bagi mengelakkan kesilapan berlaku.

Memang telah menjadi rahsia yang terbuka walaupun negara telah hampir enam dasawarsa mencapai kemerdekaan, institusi Islam khususnya sekolah agama bukanlah menjadi tumpuan untuk diberikan dana berpadanan.

Terdapat pelbagai kekurangan dan kekangan dihadapi institusi pendidikan Islam seluruh tanah air. Penulis juga merupakan hasil graduan sekolah agama yang mana telah merasai pahit getir kesusahan ketika belajar seperti kekurangan dana, guru terlatih, buku-buku, peralatan dan sebagainya.

Namun begitu, pengurusan sekolah berhempas pulas dalam kekurangan tersebut, tekun menghasilkan pelajar yang pada suatu hari nanti akan menjadi pemimpin beriman dan bertakwa.

Oleh itu, jika kita hanya menghambur kesalahan kepada sekolah sahaja, ia amatlah tidak adil kerana mereka tidak dapat bersaing dengan sekolah-sekolah lain dalam persaingan yang adil. Malah, aspek pemantauan oleh pihak berwajib juga amatlah kurang sehingga menjadikan apa yang lazim dilakukan itu dinilai sebagai perkara betul tanpa apa-apa penambah-baikan.

Kekangan dana pula telah menguncupkan aspek latihan dan modal insan sekolah-sekolah agama sebegini.

Namun, dalam  serba kekurangan begini pun tidak dapat dinafikan sekolah agama telah banyak berjasa kepada negara bukan sahaja dalam aspek pembangunan agama tetapi segenap aspek lain juga. Malah pentadbiran negara juga kini dipelopori graduan sekolah agama.

Sebagai contoh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga adalah lulusan sekolah agama.

Saya sangat gembira apabila medium pembelajaran agama sudah banyak berubah sejak zaman saya bersekolah dahulu. Kini sudah banyak sekolah agama, tahfiz, integrasi dan lainnya tumbuh di seluruh negara.

Dengan pemantauan bersistematik, saya yakin institusi pendidikan Islam akan terus cemerlang pada masa hadapan. Janganlah disebabkan satu atau dua insiden buruk sebegini keseluruhan sistem pendidikan Islam dihapuskan. Hulurlah tangan membantu institusi ini bukan membenamkan institusi Islam yang sudah sebati dalam jiwa rakyat.

Sama-sama kita membantu institusi Islam bergerak dan berdaya saing dengan lebih baik lagi. Membantu dengan memberi tunjuk ajar dan sokongan bukan mengekang dengan pelbagai alasan.

Jadikanlah segala yang baik itu sebagai teladan, yang buruk pula menjadi sempadan.

Sinar Online

Comments