Home Tempatan Memastikan makanan halal dan suci

Memastikan makanan halal dan suci

SHARE

BERBANDING dengan orang Islam di negara lain, umat Islam di Malaysia sangat mementingkan status halal makanan yang mereka makan.

Kesucian makanan, sesuatu yang amat dititikberatkan masyarakat Islam. Justeru, isu ini amatlah sensitif kepada masyarakat Islam terutamanya di Malaysia.

Bagi orang Islam sebarang isu mengenai halal atau haramnya sesuatu makanan perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi implikasi terhadap fizikal, rohani dan ibadah.

Syariat Islam meletakkan piawaian yang tinggi dalam menentukan sesuatu makanan atau minuman itu halal ataupun haram.
Piawaian dan garis panduan ditetapkan itu penting kerana ia akan mempengaruhi kehidupan umat Islam. Ia mencakupi objektif kerohanian yang luas dan mencerminkan keluhuran budi dan akhlak umat Islam.

Ini kerana, seorang Islam makan bukan sahaja untuk menyihatkan tubuh dan fikirannya tetapi sebagai satu ibadah kepada Penciptanya dan memastikan ia berupaya melaksanakan suruhan dan meninggalkan tegahan agama.

Umat Islam perlu menghalusi konsep halal dan haram ini dalam konteks makanan yang akan menjadi darah daging mereka. Sesuatu makanan dikatakan halal jika ia tidak memudaratkan fungsi fizikal dan rohani manusia.

Ia mesti bebas daripada najis atau sumber haram menurut hukum syarak. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di atas bumi.”

Ini bermakna piawaian yang digunakan al-Quran untuk pemakanan ialah halal lagi baik atau dalam bahasa Arabnya halalan toyyiba. Konsep halalan toyyiba ini perlulah difahami umat Islam kerana halal sahaja tidak mencukupi tetapi hendaklah juga makanan itu terdiri daripada yang baik dan tidak memudaratkan.

Makanan yang halal dan baik, suci dan bersih akan meningkatkan ketakwaan dan nilai ibadah seseorang. Doa umat Islam juga banyak bergantung kepada jenis makanan yang dimakan.

Jika makanannya daripada benda-benda yang tidak halal atau tidak baik, maka sudah tentu ALLAH tidak akan memakbulkan doa mereka.

Apatah lagi anak-anak Islam yang disuap dengan makanan tidak halal, sama ada dari segi sumber kewangan ataupun jenis makanan itu sendiri, selayaknyalah anak tersebut akan bersifat memberontak dan tidak menghormati ibu bapa yang memberi suapan tidak halal itu.

Lantaran akan lahirlah suatu generasi yang jauh hatinya dari agama dan institusi keluarga Islam akan punah. Golongan inilah yang akan meminggirkan agama dari hati-hati mereka.

Dalam konteks kesucian makanan pula, orang Islam perlu prihatin dan tidak mengambil mudah tentang perkara ini. Umpamanya binatang yang disembelih mengikut hukum syarak sudah semestinya dianggap halal dimakan.

Sebenarnya kita perlu peka juga tentang cara binatang itu diternak seperti makanan yang diberikan, kaedah pemeliharaan malah kaedah menyembelih pun hendaklah dilaksanakan dengan penuh ihsan dan penghormatan kepada binatang tersebut yang juga merupakan hamba ALLAH.

Penyembelihan cara Islam telah terbukti dapat mengurangkan kesakitan yang dihadapi binatang tersebut dan dalam proses tersebut darah akan dapat dikeluarkan dari dalam badan binatang tersebut. Kajian sains telah membuktikan kebenaran fakta ini.

Penyembelihan mengikut hukum syarak ini akan dapat mengelakkan pembekuan darah yang kemudiannya akan dimakan oleh manusia. Di samping darah adalah najis bagi umat Islam, memakan darah itu juga akan memberi mudarat dari segi kesihatan terhadap manusia. Inilah hikmah kenapa ada umat Islam tidak dibenarkan memakan darah dan kaedah penyembelihan yang disarankan dalam Islam.

Makanan halal mestilah diambil daripada produk yang halal termasuklah ramuan di dalamnya. Bahan ramuan halal itu pula tidaklah boleh dicampurkan bahan-bahan haram ataupun syubhah yang mana akan menjadikan ramuan itu juga menjadi haram. Manakala binatang yang halal dimakan mestilah disembelih mengikut hukum syarak dan kaedah-kaedah ditetapkan dalam Islam.

Larangan memakan makanan haram adalah satu cara Islam mengajar umatnya mengamalkan kebersihan dan penyucian fizikal dan rohani. Bagi menyemai sifat-sifat dan budi pekerti mulia, Islam menekankan penyucian diri. Penyucian diri ini boleh dilakukan melalui solat, doa dan ibadat-ibadat khusus yang lain.

Namun ibadat ini tidak akan kesampaian sekiranya makanan yang menjadi darah daging kita itu tidak suci. Natijahnya solat dan segala ibadat yang kita lakukan tidak diterima ALLAH dan gagallah matlamat ibadat tersebut untuk membentuk sikap dan peribadi yang luhur, di samping meningkatkan ketakwaan.

Sinar Online

 

Comments