Home Tempatan Memali, Balu Ibrahim Libya Mahu RCI

Memali, Balu Ibrahim Libya Mahu RCI

SHARE

Baling: Memori hitam dan keperitan yang dialami dalam tragedi berdarah Memali membuatkan Solehah Husain, 65 tahun, menunggu-nunggu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tragedi Memali ditubuhkan demi merungkai kejadian di sebalik tragedi itu.

“Kami keluarga mangsa Tragedi Memali hidup atas keperitan dan dipalit tuduhan ajaran sesat…penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja suatu langkah yang perlu dilakukan sesiapa sahaja yang memimpin kerajaan.”

Menurut Berita Harian, sewaktu berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua bulan tujuh hari, Solehah yang merupakan balu kepada arwah Ustaz Ibrahim Libya dipaksa mengaku suami sendiri sebagai ‘rasul’, selain mengakui status dirinya sebagai pengikut ajaran sesat Ibrahim Libya.

“Walaupun sudah lebih tiga dekad Tragedi Memali, tuduhan menyertai ajaran sesat dan mengadakan revolusi untuk menjatuhkan kerajaan masih terngiang-ngiang di telinga saya.”

“Sepanjang dua bulan tujuh hari ditahan secara salah melalui ISA, pelbagai fakta palsu cuba disumbat ke dalam mulut saya…apa yang dibuat ke atas diri saya, sudah pasti dilalui rakan sekampung yang turut ditahan dan dipaksa mengaku sesuatu yang sebenarnya palsu bagi menghalalkan tragedi berdarah Memali.”

Tambahnya lagi, sepanjang berada dalam tahanan, beliau bukan sahaja dipaksa mengaku suaminya sebagai rasul, bahkan pihak berkuasa turut mereka kalimah syahadah dengan meletakkan nama Ibrahim Libya menggantikan tempat Nabi Muhammad SAW sebagai rasul.

“Biarpun cuba diseksa mental, saya hanya berkata yang benar…saya tak salahkan polis yang berada dalam penjara terbabit, kerana mungkin mereka terpaksa melakukannya sebab arahan pihak atasan.”

Peristiwa Memali berlaku pada 1985 menyaksikan pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk tempatan yang akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama merangkap pemimpin PAS, Ustaz Ibrahim Libya serta empat orang anggota polis.

Justeru, Solehah berharap agar RCI Memali segera ditubuhkan demi keadilan dan maruah mereka yang terlibat.

“Kami mahu mereka yang bersalah merasai apa yang kami rasa apabila diperlakukan seperti penjenayah sehingga mencemar maruah kami sekeluarga dan penduduk kampung.”

Comments