Home Tempatan Melayu di Kuala Lumpur Sebelum Yap Ah Loy

Melayu di Kuala Lumpur Sebelum Yap Ah Loy

SHARE

“Kota metropolitan”, “bandaraya global”, “ibu Negara Malaysia”. Hanya sepintas lalu mendengar atau membaca perkataan tersebut, fikiran terdaftar dengan satu nama sahaja: Kuala Lumpur. Kota kebanggaan rakyat Malaysia ini merupakan depoh bagi lombong-lombong bijih timah di Ampang satu masa dahulu1.  Yap Ah Loy merupakan salah seorang pelombong yang datang ke Kuala Lumpur demi mencari rezeki menyara kehidupan2. Nah, di sini telah jelas dinyatakan bahawa Yap Ah Loy datang ke Kuala Lumpur, bukan datang ke kawasan yang tidak berpenghuni dan tidak bernama.

Kewujudan Kuala Lumpur bermula pada era 1840-an apabila dua orang adik beradik bernama Raja Jumaat dan Raja Abdullah datang membantu Sultan Muhammad, pemerintah Selangor untuk memajukan perlombongan bijih timah3. Atas pertolongan mereka, perlombongan bijih timah di Selangor berkembang dengan jayanya. Ucapan terima kasih Sultan Muhammad bukan hanya sekadar di mulut, akan tetapi baginda telah memberi ganjaran kepada Raja Jumaat dan Raja Abdullah dalam bentuk perkahwinan dengan puteri baginda dan juga anak saudara baginda.

Raja Jumaat yang berkahwin dengan puteri Sultan Muhammad telah dilantik menjadi birokrat di Lukut pada tahun 18464, manakala Raja Abdullah yang mengahwini anak saudara Sultan diberi kepercayaan untuk mentadbir kawasan Lembah Klang sekitar tahun antara 1849 dan 1850.5

Kewibaan Raja Abdullah membangunkan kawasan Lembah Klang dan menjadikan perlombongan bijih timah sebagai sektor yang penting terbukti apabila pedagang-pedagang Cina dari Lukut berhijrah ke situ terutamanya di Kuala Lumpur. Hal ini adalah kerana Kuala Lumpur merupakan terminal bagi lombong-lombong di Ampang. Ini merupakan bukti yang kukuh untuk menyatakan bahawa Kuala Lumpur sememangnya telah wujud sebelum kedatangan Yap Ah Loy.

Mengapa Yap Ah Loy yang merupakan Kapitan Cina yang ketiga dicanang-canangkan sebagai pengasas kota Kuala Lumpur sedangkan Kuala Lumpur memang telah wujud sewaktu kedatangan beliau? Apabila diteliti dengan lebih mendalam, Yap Ah Loy sebenarnya bertanggungjawab membangunkan semula Kuala Lumpur yang musnah akibat Perang Klang yang berlaku sebelum itu. Pembangunan secara berstruktur yang dilakukan oleh beliau membuatkan seorang pegawai British yang datang melawat Kuala Lumpur pada tahun 1875  kagum dengan keupayaan Yap Ah Loy membina semula perkampungan Kuala Lumpur dibandingkan dengan perkampungan lain di Semenanjung.6 Berdasarkan fakta inilah Yap Ah Loy digelar sebagai pengasas Kuala Lumpur.

Sebenarnya, menamakan Yap Ah Loy sebagai pelopor Kuala Lumpur amat tidak relevan kerana Yap Ah Loy hanya bertanggungjawab membina kembali penempatan yang musnah di Kuala Lumpur dengan pelan yang lebih tersusun. Barangkali gelaran yang lebih sesuai kepada Yap Ah Loy adalah sebagai jurutera berstrategi pertama di Kuala Lumpur, bukannya pengasas kota Kuala Lumpur.

Rujukan

1Jurina Pieei & Monica Kuak. Album 100 Tahun Kuala Lumpur menjadi Penguasa Tempatan. Penerbitan Puteries, 1990, hlm 3

2http://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/4318/1/JB1870_OKLu.pdf

3Jurina Pieei & Monica Kuak. Album 100 Tahun Kuala Lumpur menjadi Penguasa Tempatan. Penerbitan Puteries, 1990, hlm 3

4Jurina Pieei & Monica Kuak. Album 100 Tahun Kuala Lumpur menjadi Penguasa Tempatan. Penerbitan Puteries, 1990, hlm 3

5Jurina Pieei & Monica Kuak. Album 100 Tahun Kuala Lumpur menjadi Penguasa Tempatan. Penerbitan Puteries, 1990, hlm 3

6Jurina Pieei & Monica Kuak. Album 100 Tahun Kuala Lumpur menjadi Penguasa Tempatan. Penerbitan Puteries, 1990, hlm 7-8

 

Comments