Home Tempatan Melaka tuan rumah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

Melaka tuan rumah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

SHARE

AYER KEROH: Melaka berazam untuk menjadi tuan rumah terbaik pada Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Seri Negeri, di sini, selama tujuh hari, bermula Ahad ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pihaknya menjangkakan lebih 50,000 pengunjung akan hadir menyaksikan majlis hafazan dan tilawah itu.

“Melaka pernah menjadi tuan rumah bagi majlis sama sebanyak tiga kali dan pada tahun ini, kita berazam untuk menjadi yang terbaik dengan penyediaan perkhidmatan untuk peserta, pegawai dan orang ramai.

“Apatah lagi, majlis turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), sekali gus bakal disaksikan oleh jutaan penonton seluruh negara,” katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, di sini, hari ini.

Idris berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan majlis berkenaan pada Isnin ini, manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Mohd Khalil.

Sementara itu, sebanyak tujuh agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta syarikat persendirian melunaskan zakat perniagaan masing-masing kepada Mohd Khalil yang mewakili Pusat Zakat Melaka (PZM).

Lembaga Tabung Haji (TH) melunaskan zakat perniagaan berjumlah RM1.6 juta diikuti Syarikat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (RM196,778.10), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (RM100,000); Bank Islam Malaysia Sdn Bhd (RM93,534.77), Fazil Shafie Associates Sdn Bhd (RM88,888.88) Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (RM27,594.36) dan Melaka Bekal Sdn Bhd (RM20,000).

Idris yang juga Pengerusi PZM berkata, sehingga Khamis lalu, kutipan bagi zakat harta meningkat kepada RM17 juta, berbanding RM15 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Berita Harian

Comments