Home Tempatan Melaka perangi kegiatan khurafat di Pulau Besar – Idris

Melaka perangi kegiatan khurafat di Pulau Besar – Idris

SHARE

JASIN: Kerajaan Melaka tidak akan berkompromi dengan aktiviti berunsur khurafat dan bentuk pemujaan didalangi pihak tertentu untuk terus berleluasa di Pulau Besar, di sini. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata jika aktiviti itu terus berlaku, tindakan tegas akan diambil.

“Tindakan undang-undang mengikut Seksyen 36 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka 2002 akan dikenakan ke atas individu yang melakukan kegiatan khurafat, selain cuba membina sebarang struktur bagi niat memuja di pulau ini.

“Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan polis sudah membentuk satu unit khas bagi menjaga dan membendung kegiatan berkenaan,” katanya ketika melawat pulau itu.

BH Plus kelmarin mendedahkan mengenai amalan khurafat yang didakwa terus berlaku dan berleluasa di pulau itu.

Yang turut hadir, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Idris berkata, kerajaan negeri akan mengembalikan semula imej Pulau Besar sebagai lokasi berkonsepkan ekopelancongan agama yang lebih cekap dan berkesan.

“Ia selaras cadangan menaik taraf Masjid Pulau Besar sedia ada bagi menampung sejumlah 600 hingga 700 jemaah yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

“Masjid baharu yang dijangka siap menjelang tahun 2019 ini bakal dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV), selain kemudahan hospitaliti untuk pengunjung mendalami bidang keagamaan dan al-Quran,” katanya.

Berita Harian

Comments