Home Tempatan Megawati: Kekerasan pada wanita, kanak-kanak perbuatan keji

Megawati: Kekerasan pada wanita, kanak-kanak perbuatan keji

SHARE

KUALA LUMPUR : Bekas presiden Indonesia Megawati Soekarnoputri berkata kekerasan terhadap wanita dan kanak-kanak adalah perbuatan yang paling keji terhadap perikemanusiaan.

Bagaimanapun, katanya amat sukar untuk menghentikan perbuatan itu dan hanya dengan kerjasama antara pelbagai negara dapat mengatasi masalah.

“Kerjasama antara negara dalam membanteras kejahatan kemanusiaan yang berlaku sejak dulu ini sangatlah diperlukan.

“Saya yakin pemerintahan Malaysia memiliki komitmen yang kuat dalam menyelesaikan masalah kekerasan terhadap wanita dan kanak-kanak selain daripada pekerja perempuan asing dan keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan Perutusan Khas Kerjasama Rantau Asean Dalam Membanteras Jenayah Seksual Kanak-kanak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam ucapannya, bekas presiden Indonesia ke-5 itu turut meminta Malaysia, Indonesia bersama negara Asean lain untuk memperjuangkan isu itu dan mengakhiri segala kekerasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Perjuangan Asean bukanlah perjuangan yang mudah. Ini perjuangan bersama bagi memenuhi hak asasi manusia,” katanya.

Pada sidang medianya bersama isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Megawati turut ditanya bagaimana mahu menghentikan kekerasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Saya kira banyak masalah kini bukan setakat peringkat Asean saja. Masalah ini menjadi global.

“Hal ini juga seharusnya bukan saja dibincangkan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi negara yang mengalaminya juga perlu memperjuangkan isu itu secara aktif,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments