Home Tempatan Medium martabatkan Islam

Medium martabatkan Islam

SHARE

ALOR GAJAH – Penubuhan Yayasan Pemimpin Muda Islam mampu menjadi medium perkongsian idea golongan muda dari negara Islam bagi terus memartabatkan Islam di persada dunia.

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, menyedari kepentingan yayasan itu, beliau akan mengusulkan semula kesinambungan penubuhannya kepada kerajaan sebagai pusat rujukan negara serta pertubuhan Islam di dunia dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini, katanya, yayasan itu berjaya menghimpunkan peserta dari 57 negara dalam persidangan antarabangsa, bagi memusatkan idea mengenal pasti perancangan ekonomi dalam kalangan negara Islam yang akan memberi manfaat bersama.

“Kita mahu memberikan pendedahan kepada pemimpin muda Islam yang bukan saja bertenaga, tetapi berwawasan melihat perkara yang perlu diperjuangkan pada masa hadapan.

“Kemajuan umat Islam boleh diubah dalam tempoh singkat menerusi pemikiran lebih canggih dari semua pemimpin muda di seluruh dunia. Negara kita jadi bukti menerusi penghijrahan dalam tempoh 30 tahun,” katanya.

Selain itu, beliau yakin Malaysia sebagai tuan rumah mampu memainkan peranan untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk menyalurkan maklumat berkaitan ekonomi, perniagaan dan peluang perdagangan dari seluruh dunia Islam.

Malah beliau berkata, yayasan tersebut bertindak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan kelancaran pelaksanaan tanpa perlu berhadapan dengan karenah birokrasi.

“Yayasan ini akan jadi platform untuk usahawan Islam menjadi sebahagian daripada rangkaian perniagaan dunia Islam dan global.

“Kita juga bukan saja fokus kepada pemimpin Islam, tapi akan pastikan solidariti pemimpin dari Negara-Negara Asia Tenggara dan sedia berinteraksi,” katanya.

Sinar Online

Comments