Home Tempatan MDN Cadang Temui Parti-parti Politik Ditunjangi Pemimpin Islam

MDN Cadang Temui Parti-parti Politik Ditunjangi Pemimpin Islam

SHARE
Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) — Majlis Dakwah Negara (MDN) akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik yang ditunjangi orang Islam bagi mencari penyelesaian dalam hal-hal yang mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Pertemuan itu juga bagi membolehkannya memahami secara mendalam pandangan dan pendirian politik parti-parti itu pada masa ini, kata Pengerusinya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid.

Katanya, langkah MDN itu akan bermula dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad esok, diikuti pemimpin parti lain seperti PKR, Parti Amanah Negara, PAS dan UMNO.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MDN di sini hari ini, beliau berkata MDN mendapati perbuatan saling mengaib dan memburukkan satu sama lain antara pimpinan politik mewujudkan perpecahan yang dilihat semakin serius di kalangan umat Islam sekarang.

Mahmood Zuhdi berkata lebih menyedihkan, perbuatan yang melanggar sempadan agama itu menyumbang kepada kekeliruan di kalangan masyarakat dalam menentukan kebenaran sesuatu perkara yang diperdebatkan.

“Kalau setakat rebutan kuasa sesama ahli politik, itu memang kerja mereka tetapi kalau perbuatan ‘saling menelanjangi’ itu boleh menjejaskan perpaduan ummah.

Mahmood Zuhdi menarik perhatian bahawa MDN tidak berhasrat menjadi orang tengah sebaliknya langkah itu diambil bagi memahami secara mendalam sama ada perkara yang ‘dibisingkan’ ketika ini benar-benar satu masalah atau sekadar ‘bising orang politik’.

“Tujuan kita hanyalah untuk mengurangkan kesan negatif daripada perbalahan orang-orang politik terhadap kesatuan ummah,” katanya.

Bernama

Comments