Home Tempatan MDKPI anjur bengkel tulisan jawi

MDKPI anjur bengkel tulisan jawi

SHARE

KOTA BHARU 8 Mei – Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDKPI) menganjurkan Bengkel Intensif Ejaan Jawi khusus untuk penggiat industri pengiklanan di daerah itu baru-baru ini.

Setiausaha MDKPI, Md. Yani Mat Zain berkata, program itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran berkaitan etika ejaan jawi bagi pengusaha dan pereka grafik pengiklanan serta orang perseorangan.

Beliau berkata, penganjuran bengkel tersebut sejajar dengan penarafan MDKPI sebagai sebuah ‘Perbandaran Islam’ yang turut memikul tanggungjawab memartabatkan penulisan jawi dan keindahan seni khat.

“Kami merasakan satu bengkel intensif perlu dianjurkan untuk mencari garis panduan serta penyeragaman seni khat supaya tidak berlaku kesilapan dan kesalahan terutama dalam sektor pengiklanan.

“Pihak yang akan menguat kuasa dan memantau juga perlu diberikan pendedahan dan ilmu supaya dapat berperanan de­ngan lebih baik dalam memastikan etika ejaan jawi dipatuhi.

“Kami komited membudayakan penulisan jawi dalam iklan di kain rentang, papan tanda dan lain-lain serta berharap keindahan tulisan jawi dapat diperluaskan,” katanya di sini baru-baru ini.

Bengkel tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Kebajikan MDKPI, Zulkifli Mat Yusuf.

Seramai 30 peserta terdiri daripada wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), pengusaha syarikat pengiklanan dan orang perseorangan hadir pada program tersebut.

Sempena bengkel tersebut, dua penceramah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing iaitu Pengarah Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Ropein Hasan yang membentangkan kertas kerja bertajuk Penggalakkan Tulisan Jawi Dalam Industri Pengiklanan.

Manakala seorang lagi pen­ceramah, Munsyi Tulisan Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Mohd. Yassin Yusuf dengan kertas kerja bertajuk Penggunaan Tulisan Jawi Dalam Pengiklanan.

UTUSAN ONLINE

Comments