Home Tempatan MCCBCHST Akan Pastikan RUU 355 Tidak Dibentangkan

MCCBCHST Akan Pastikan RUU 355 Tidak Dibentangkan

SHARE

Kuala Lumpur : Keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk tidak membawa Usul Pindaan RUU 355 disambut baik oleh pihak Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) kata Naib Presidennya, Tan Hoe Chieow.

Menurut beliau, pihaknya merasa amat gembira dengan keputusan Perdana Menteri untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen yang sepatutnya dibentangkan minggu lalu.

Tan Hoe Chieow berkata, berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, baru-baru ini.

Ditanya sama ada ini merupakan satu kejayaan daripada MCCBCHST untuk melobi kerajaan supaya tidak membawa usul itu, beliau menjawab, ia boleh dikatakan satu kejayaan bagi pihak MCCBCHST.

“Tapi yang penting sekali, negara kita yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan agama serta berlainan budaya dapat meneruskan amalan saling hormat-menghormati dan keputusan ini amat bagus sekali bagi mengekalkan keharmonian negara,” katanya.

Ketika ditanya apa tindakan lanjut pihak MCCBCHST supaya usul ini terus dihalang daripada dibentangkan, Tan Hoe Chieow berkata, pihaknya tetap akan dan sedang berkomunikasi dengan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman Dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA) serta sesiapa sahaja yang kita kenali dan mempunyai hubungan supaya terus membantah Usul RUU 355 ini daripada dibentangkan.

Bagaimanapun, menurut beliau, sekiranya masih terdapat harapan usul ini untuk dibentangkan ia terpulang kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan saya tidak dapat memberikan jawapan yang pasti tetapi amat berharap agar ia tidak terus dibentangkan.

“Namun, seperti yang dimaklumkan, kita akan tetap meneruskan perjuangan bagi memastikan agar kerjasama melalui pelbagai pertubuhan yang mempunyai hubungan erat dengan kita akan mempertahankan supaya Usul Pindaan RUU 355 ini tidak akan dibentangkan sama sekali,” kata beliau mengakhiri temubual.

Comments