Home Tempatan MCA gembira dengan pelaburan China

MCA gembira dengan pelaburan China

Dalam perutusan Tahun Baharu Cina, Liow mengalu-alukan aliran masuk pelaburan China, sambil menyeru bertegas terhadap pihak yang memupuk 'pecah belah'.

SHARE

PETALING JAYA: MCA hari ini berkata parti itu berpuas hati kerana dapat memainkan peranan membawa masuk pelaburan China ke negara ini.

“MCA gembira dapat memainkan peranan penting membantu kemasukan pelaburan baru dari China, ekonomi kedua terbesar dunia.

“Peluang daripada pelaburan ini sudah tentu akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara kita,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam perutusan Tahun Baharu Cina hari ini.

Beliau yang juga menteri pengangkutan berkata penglibatan China dalam pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur akan mengubah sistem pengangkutan di Malaysia

“Sekali lagi, saya menyeru supaya kita semua bertegas terhadap ekstremisme dan elemen memecah belah,” kata Liow.

Pelaburan China dilihat melonjak naik sejak tahun lalu, khususnya dalam sektor perumahan, menjadi kontroversi, selepas mengundang kebimbangan beberapa pihak terhadap ledakan pemilik rumah warga asing yang dikatakan menjadi sasaran utama syarikat pemaju China.

Baru-baru ini, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan dasar membenarkan syarikat pemaju China dalam projek besar-besaran di wilayah Iskandar dan kawasan sekelilingnya, mengundang kritikan balas pihak istana Johor, yang menuduh bekas perdana menteri cuba memainkan sentimen perkauman dalam membantah pelaburan China.

Liow dalam perutusan Tahun Baharu berasingan versi Bahasa Melayu turut memuji kepimpinan perdana menteri kerana berjaya menarik pelaburan China.

“Dengan kebijaksanaan dan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia, kita berjaya membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya dari China dan Jepun. Kebolehan untuk berpandang jauh dan siap-sedia ini akan meningkatkan potensi ekonomi yang wujud di negara kita,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments