Home Pendapat MCA; Batal, Tabal & Kebal

MCA; Batal, Tabal & Kebal

SHARE

MCA dan kegagalan dalam memperkasakan bahasa kebangsaan bukanlah satu perkara yang asing. Menjenguk kepada laman web rasmi MCA, mca.org.my/1, tidak keterlaluan untuk kita simpulkan bahawa parti politik tersebut tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan. Ini adalah kerana laman utama portal parti politik ini adalah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Jika seorang warga Malaysia ingin membaca laman tersebut dalam Bahasa Melayu maka dia perlu melawat ke satu laman terjemahan. Ia seolah-olah menunjukkan, Bahasa Kebangsaan bukan keutamaan bagi parti yang menjadi antara pelopor kepada penubuhan negara ini.

Terbaru, MCA Taiping telah dikatakan ‘menghina’ pemasyuran pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 apabila kain rentang yang dipamerkan parti politik tempatan tersebut tertera ‘perbatalan’ Yang di-Pertuan Agong.

Kain rentang tersebut digantung selama seminggu untuk tontonan ramai. Banyak pihak yang marah dan merasa terhina dengan kejadian tersebut sehinggakan imej tersebut menjadi tular di media-media sosial.

Terkini, MCA Taiping telah memohon maaf tetapi siasatan tetap diteruskan kerana kejadian tersebut adalah sesuatu yang serius. Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata siasatan dijalankan untuk memastikan bahawa ianya tidak disengajakan.

“Sekiranya ia disengajakan, kes ini adalah amat serius kerana ia boleh menyebabkan keselamatan anggota masyarakat terancam.”

Di tengah-tengah karikatur monyet Nanyang Siang Pau yang dikatakan telah menghina umat Islam dan agama Islam, adalah mudah untuk berbuat salah dan kemudiannya memohon maaf tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat umum yang terguris. Kita tentu masih ingat apabila suratkhabar The Star yang dimiliki MCA ‘mengalmarhumkan’ Sultan Ismail Petra. Konglomerat media tersebut kemudiannya memohon maaf.

Persoalannya, bagaimana sebuah gergasi media segah The Star Media Group, dengan puluhan editor, masih gagal mengusul periksa nama Ketua Negara Malaysia? Sikap acuh tidak acuh dan tidak hormat, jauh sekali profesional malah sangat menghina ini sememangnya tidak boleh dibiarkan begitu saja.

Malang sekali, setelah lebih 60 tahun merdeka, jenis warganegara yang kita ada rata-rata terdiri daripada warga buta tuli yang gagal mengusul periksa fakta, menjaga sensitiviti budaya dan agama malah gagal untuk berbahasa kebangsaan seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain.

Tabal dan Batal membawa maksud yang jauh berbeza malah jika diperhalusi, ‘Pertabalan’ adalah sesuatu yang sangat dibanggakan, dan ‘Perbatalan’ pula membawa maksud yang amat berbeza sama sekali, apatah lagi dengan kedudukan Sultan dan Raja-Raja Melayu yang dihormati dan disanjung tinggi rakyat Malaysia, maksud perkataan tersebut membawa konotasi penghinaan.

“Seseorang akan bertanya, dibatalkan sebab apa, tentu ada yang tidak kena hendaknya?”

Namun kebebalan pendukung bahasa vernakular dengan membelakangkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penyatuan bangsa Malaysia, termasuk MCA dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya akan berterusan. Persoalannya, adakah MCA akan kekal ‘Kebal’ setelah isu “mengalmarhumkan” serta “membatalkan” KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?

Comments