Home Tempatan Maulana Mohd Dailami Menjawab Dr MAZA

Maulana Mohd Dailami Menjawab Dr MAZA

SHARE

SHAH ALAM: Mudir Darul Ulum Az Zahra menegur Mufti Perlis Prof Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza yang mengkritik pengurusan dan tenaga pengajar sekolah tahfiz baru-baru ini.

Menurut Maulana Mohd Dailami yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ihtimam Tahfiz Al Quran Negeri Selangor, adalah tidak adil tragedi kebakaran yang menimpa Darul Quran Ittifaqiyah dijadikan sebagai tiket untuk mengkritik keseluruhan organisasi tahfiz dalam negara.

“Sekolah-sekolah yang disebutkan oleh Yang Berbahagia Dr Maza sebagai tidak berkualiti hanya merujuk kepada sekolah bidang tahfiz, sedangkan beliau juga menyedari sekolah-sekolah konvensional lain juga amat banyak yang tidak berkualiti. Asasnya, apakah yang menjadi kualiti sesebuah sekolah? Adakah hanya dengan prasarana yang canggih dan baik sahaja?”

“Saya berpendapat, sekolah yang berkualiti ialah sekolah yang mampu melahirkan insan-insan yang cemerlang dari segi ilmu dan didikan akhlaknya, bukan sekadar prasarana yang canggih sahaja.”

Maulana Mohd Dailami menambah, didikan agama daripada asas perlu diterap ke dalam masyarakat bagi menyelamatkan masa depan anak-anak umat Islam daripada bentuk pemikiran yang tidak sepatutnya dan pengajian tahfiz merupakan salah satu daripada asas pendidikan agama.

Menurutnya, institusi tahfiz yang ada di dalam masyarakat hari ini merupakan asas kepada pendidikan agama. Ia merupakan anak tangga pertama kepada pendidikan Islam iaitu hafazan al Quran dan kemudiannya pengajian Islam (Alim) yang merupakan satu warisan dimulakan dengan penurunan wahyu al Quran dan asasnya dibina daripada 23 tahun kenabian.

“Sejarah menghidangkan kepada kita sekolah-sekolah pondok yang serba kedhaifan melahirkan insan dan tokoh yang tinggi budi pekertinya dan besar curahan jasanya kepada masyarakat Melayu. Dengan kes akhlak anak-anak dan dadah yang amat menakutkan pada zaman ini, tidak keterlaluan saya sebutkan di sini, pusat tahfiz dalam negara ini menjadi salah satu penyumbang utama bagi membendung wabak dadah dan gejala akhlak keji di kalangan remaja.”

Maulana Mohd Dailami juga berkata, masih banyak kelemahan dan ruang yang boleh dibaiki bagi mempertingkatkan kecemerlangan institusi tahfiz dalam negara ini. Sektor swasta telah menampung jumlah keperluan pendidikan agama yang besar dalam masyarakat. Sepatutnya ia dibimbing dan diberi kerjasama yang selayaknya oleh pihak berautoriti.

Jelasnya lagi, tidak perlu berdukacita dan kesal jika ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz kerana apa yang perlu didukacita dan dirisaukan adalah apabila ibu bapa tidak menitikberatkan aspek agama dalam mendidik anak-anak yang diamanahkan Allah SWT kepada mereka.

Comments