Home Antarabangsa Masjid Yusof Ishak di Singapura menambat hati umat Islam jauh dan dekat

Masjid Yusof Ishak di Singapura menambat hati umat Islam jauh dan dekat

SHARE

SINGAPURA 27 Mei – Masjid Yusof Ishak di Woodlands yang baru dilancarkan bukan sahaja menambat hati masyarakat Islam Singapura tetapi juga masyarakat Islam Malaysia.

Sejak majlis perasmiannya pada 14 April, Masjid yang mengambil sempena nama Presiden pertama Singapura itu boleh menampung seramai 4,500 orang jemaah pada satu-satu masa.

Seorang daripada rakyat Malaysia yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Azizul berasal dari Kelantan berkesempatan solat di masjid itu bersama rakan-rakannya.

“Saya sangat bangga sebab ini adalah masjid ke-71 di Singapura dan yang paling besar dibina setakat ini,” kata Azrul yang begitu bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid tersebut.

Azrul yang bekerja di sebuah agensi promosi Malaysia di Johor bersama rakannya ke Singapura untuk menghadiri program Pelancongan Malaysia Singapura 2017 apabila singgah untuk solat di Masjid yang kos pembinaannya sebanyak S$18 juta.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Hari Kebangsaan 2014 berjanji masjid baru di Woodlands akan dinamakan dengan nama Presiden pertama Republik itu iaitu Yusof Ishak.

“Sebagai Ketua Negara, Yusof Ishak berjaya menyatukan semua rakyat Singapura. Beliau memperjuangkan banyak nilai murni terutamanya perpaduan hidup masyarakat majmuk.

“Untuk menghargai legasinya, pengurusan masjid akan menganjurkan pelbagai aktiviti sebagai usaha menyatukan penduduk pelbagai kaum.

“Saya berasa amat gembira kerana banyak kegiatan sempena bulan Ramadan sudah diatur,” beliau menulis dalam ruangan Facebooknya pada hari perasmian Masjid Yusof Ishak.

Masjid itu dirasmikan pada 14 April, iaitu tarikh yang sama dengan sambutan Good Friday yang diraikan penganut agama Kristian. Pada tarikh itu juga masyarakat Tamil merayakan tahun baru mereka.

“Tiga masyarakat Singapura yang berbeza iaitu Kristian, Islam dan Hindu meraikan pertistiwa yang berbeza pada hari yang sama!,” tulis Lee.

Sebulan selepas majlis pelancaran masjid, pengurusan masjid mengundang pendakwah bebas yang terkenal Datuk Ustaz Kazim Elias dari Malaysia untuk menyampaikan kuliah pada 13 Mei bertajuk “Keberkatan Bulan Ramadan”.

Pengurusan masjid juga mempunyai halaman Facebook rasmi www.facebook.com/pg/ masjidyusofishak dan kuliah Ustaz Kazim disiarkan secara langsung.

Langkah itu dibuat bagi membolehkan pihak masjid dapat menyebarkan maklumat termasuk berhubung masjid itu dengan lebih meluas.

Hampir kesemua masjid di Singapura mempunyai halaman Facebook yang diurus dengan cekap dan kegiatan mereka sering dikemaskini.

Masjid Yusof Ishak dibuka rasmi oleh balu Presiden pertama Singapura, Puan Noor Aishah, 84, dalam satu majlis yang dihadiri oleh 100 tetamu termasuk Perdana Menteri Lee.

Yusof kembali ke rahmatullah pada 1970 ketika menyandang jawatan Yang Di-Pertuan Negara selepas Singapura membentuk kerajaan sendiri pada 1959. Beliau adalah juga Presiden pertama Singapura. Wajah beliau tertera di wang kertas Singapura.

Jika anda berada di Singapura, bolehlah mengambil bas nombor 901 untuk ke Masjid Yusof Ishak dan stesen MRT yang terdekat di Woodlands.

Berdasarkan Kajian Umum Isi Rumah Singapura 2015, untuk warganegara berusia 15 tahun ke atas, 14 peratus daripadanya berkata mereka beragama Islam.

Sehingga Jun 2015, penduduk Singapura berjumlah 3.9 juta.

UTUSAN ONLINE

Comments