Home Kolumnis Masjid Al-Aqsa, Milik Umat Islam

Masjid Al-Aqsa, Milik Umat Islam

SHARE

Umat Islam, di mana pun mereka berada tentunya akan merasa tersentuh dan tidak senang apabila menonton di kaca-kaca TV, sebuah masjid yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam dicabul kehormatan dan kesuciannya oleh regim Zionis Israel.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Israel telah melarang masyarakat Islam tempatan yang berusia bawah 50 tahun daripada menunaikan solat Jumaat dalam Masjid al-Aqsa. Di samping itu, rejim Israel juga memasang pagar besi di ruangan masjid. Apa yang pasti, cubaan untuk merampas masjid ketiga terpenting milik orang Islam ini bukanlah kali pertama. Malah, mereka telah melakukan pelbagai sekatan untuk menyukarkan umat Islam daripada menjejakkan kaki ke tapak suci dan bersejarah itu.

Seperti yang ramai sedia maklum, Masjid Al-Aqsa menjadi saksi berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj yang dilalui oleh Nabi Muhammad dalam Al-Qur’an (Surah Al-Isra’ ayat 1) meliputi seluruh kawasan Al-Haram Asy-Syarif iaitu tanah suci yang mulia. Dalam hadits shahih, Masjid Al-Aqsa merupakan salah satu daripada tiga masjid yang dianjurkan untuk diziarahi selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Dari Abu Said Al-Khudri ra, ia berkata, “Rasulullah saw bersabda, ‘Janganlah melakukan ziarah kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidil Aqsa, dan masjidku ini (yakni Masjid Nabawi).” (HR Bukhari dan Muslim)

Pada awalnya, dalam banyak riwayat mengatakan Masjid Al-Aqsa didirikan oleh Nabi Daud. Apabila baginda wafat, pembinaan masjid ini diteruskan oleh anak baginda, Nabi Sulaiman. Setelah gempa bumi pada tahun 124H, Masjid Al-Aqsa musnah dan dibangun kembali oleh Khilafah Abbasiyah. Gempa berikutnya menghancurkan sebahagian besar Masjid Al-Aqsa pada tahun 425H, namun telah pun dibaik pulih oleh kerajaan Fatimiyyah. Setelah melalui penaklukan Khilafah Islamiyah yang bersilih ganti, Masjid Al-Aqsa telah melalui renovasi yang pelbagai dari segi bentuk, pembinaan dan juga kawasan sekitarnya.

Ketika Tentera Salib menakluki Jerusalem pada tahun 1099, mereka menggunakan masjid ini sebagai istana dan gereja, fungsi masjid ini dikembalikan seperti asal setelah Shalahuddin Al-Ayyubi berjaya merampas kembali Kota Baitulmaqdis. Namun, setelah berlakunya perang dunia ke 2, orang-orang Yahudi mula menguasai Palestin dan merancang pelbagai agenda keji untuk merampas tapak suci umat Islam ini.

Masjid Al-Aqsa ini difahamkan mengalami keretakan yang serius akibat kerja-kerja mengorek lubang oleh rejim penjajah Zionis yang disokong negara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, sejak tahun 1967. Walaupun tindakan biadab mereka mendapat tentangan masyarakat antarabangsa yang lainnya, namun sedari mereka disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia, mereka tetap meneruskan kerja mengorek bawah tanah Masjid Al-Aqsa. Antara alasan yang diberikan ialah kononnya mahu mencari bukti kewujudan Haykal Sulaiman. Sebuah kuil Yahudi pada zaman lampau.

Terkini, Masjid Al-Aqsa masih dibawah kawalan ketat para militari dan tentera Israel. Umat Islam khususnya rakyat Palestin telah dinyahkan hak mereka untuk beribadat secara bebas di masjid tersebut. Sekalipun pencabulan ke atas Masjid Al-Aqsa tidak berkesudahan, rakyat Palestin tidak pernah menyerah untuk menjaga dan memelihara kesucian al-Aqsa meskipun menderita di bawah cengkaman penjajah.

Umat Islam seluruh dunia dan khasnya Malaysia, wajar mengecam tindakan rejim Zionis dan berterusan mendesak Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ketua-ketua negara umat Islam agar mempertahankan Masjid al-Aqsa milik umat Islam.

Ayuh, kita tingkatkan intifadha demi al-Aqsa yang dimuliakan Allah ini!

 

1) http://www.bruneiresources. com/pdf/masjid_adananbasar_ sejarah.pdf

2) https://aburedza.files. wordpress.com/2011/06/4992871- rahsia-masjidil-aqsa.pdf

Comments