Home Tempatan MAQIS Perlu Ambil Tindakan Tegas!- PERKASA

MAQIS Perlu Ambil Tindakan Tegas!- PERKASA

SHARE

PUTRAJAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa agar MAQIS mengambil tindakan undang-undang ke atas pengimpot daging sejuk beku yang membawa daging kambing bercampur daging babi yang tular baru-baru ini. Tindakan pengimport yang biadap ini perlu dikenakan hukuman atas kesalahan menggunakan pintu masuk mengimport tanpa permit dan disabit mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011.

Pengerusi Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah melahirkan rasa kebimbangan dengan berita hangat ini dimana Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mengesahkan pengusaha tempatan produk sejuk beku itu melanggar syarat permit yang hanya membenarkan syarikat itu mengimport daging dari Australia.

“Pendedahan ini amat membimbangkan dan meresahkan umat Islam negara ini kerana kotak daging kambing telah dicampur bersama daging babi dan ini melanggar syarat-syarat permit import yang diberikan. Sesiapapun tidak boleh memastikan kesucian dari segi syarak daging kambing yang berada bersama daging babi dalam satu kontena,” kata beliau.

Menurut pendedahan Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad dalam pemeriksaan awal, MAQIS menemui 160 kotak daging babi disusun secara bercampur dengan 1,142 kotak daging kambing pada kontena pertama, selain kira-kira 30 tan daging kambing, masing-masing pada kontena kedua dan ketiga, manakala kontena terakhir dipercayai mengandungi paru lembu yang diimport dari Brazil.

Difahamkan, kontena berkenaan mempunyai permit untuk membawa daging kambing hanya dari negara Australia dan tiada permit untuk membawa daging dari negara lain. Mereka juga tiada permit membawa daging babi atau dicampur bersama daging lembu atau kambing.

Dr. Amini yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (BIHALIM) merangkap Ahli Dewan Tertinggi (ADT) turut mempersoalkan bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku.

“Pengimpot berkenaan dipercayai telah melakukan perkara curang ini selama bertahun-tahun dan umat Islam seperti tertipu dengan modus operandi yang menyalahi undang-undang dan penuh dengan kelicikan dan penipuan ini. Ramai umat Islam tertanya-tanya apakah yang sebenarnya yang berlaku? Dan perkara ini telah menimbulkan keresahan yang melampau di kalangan pengguna Islam,” luah beliau.

Justeru itu, Perkasa menggesa agar satu penyiasatan terperinci hingga ke akar umbi dilakukan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan SPRM kerana ia melibatkan kepentingan awam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Tindakan undang-undang yang berat perlu dikenakan ke atas mereka yang dibuktikan terlibat kerana mengimport tanpa karkas dan permit yang sah serta memberi permit atau perakuan palsu dalam pengimportan,” tegasnya lagi.

Comments