Home Tempatan MAPIM Sokong Keputusan YDPA & Raja-Raja Melayu Tolak Tommy Thomas

MAPIM Sokong Keputusan YDPA & Raja-Raja Melayu Tolak Tommy Thomas

SHARE

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyatakan sokongan terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu yang menolak cadangan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara (AG).

“Peguam Negara adalah antara jawatan awam yang sangat penting dalam kerajaan dan lazimnya selama ini dilantik di kalangan Melayu/Muslim,” tegas Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid.

Ujarnya lagi seperti dalam kenyataan media yang dikeluarkan, tidak ada sebab kerajaan PH perlu menukar status ini kerana kedudukan AG sangat penting dalam melihat perkembangan undang undang Sivil dan Syariah di negara ini.

“YDP Agong sendiri telah memberi kenyataan bahawa baginda mahu AG menasihati baginda mengenai hal yang berkaitan dengan urusan undang-undang Syariah. Mana mungkin AG yang bukan Islam mempunyai kredibiliti untuk menasihat YDP Agong mengenai hal tersebut.”

“AG bukan hanya berfungsi untuk mendakwa. Perkembangan undang-undang di negara ini juga menjadi tanggungjawab AG.”

Tambahnya lagi, MAPIM juga menekankan perlunya seorang AG yang dilantik itu menguasai Bahasa Melayu pada tingkat yang munasabah.

“Setakat yang kami tahu Tommy Thomas tidak mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik. Jadi kelayakan beliau untuk jawatan AG adalah tidak mencukupi.”

“Mengendalikan bidang undang-undang negara dengan penguasaan Bahasa Kebangsaan yang lemah tidak layak diangkat sebagai AG.”

Oleh yang demikian, MAPIM mencadangkan AG mestilah dari kalangan Melayu Muslim seperti bekas AG, Ghani Patail.

“Pada era ini, negara sudah mempunyai ramai ahli undang-undang di kalangan Melayu-Muslim yang terbukti ada integriti dan penguasaan yang cukup mengenai undang-undang negara ini.”

“Kami mencadangkan mungkin bekas AG, Ghani Patail boleh menggalas jawatan itu dan polemik antara PM dan kerajaan dengan Agong dan Raja Melayu dalam isu ini dapat diselesaikan.”

Comments