Home Tempatan MAPIM pantau agihan bantuan kepada Rohingya

MAPIM pantau agihan bantuan kepada Rohingya

SHARE

BANGI, 26 Jamadilawal 1438H, Khamis – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan menghantar wakil ke Bangladesh dan Myanmar untuk memantau pengagihan bantuan kemanusiaan setelah Food Flotilla for Myanmar (FFFM) selesai melaksanakan misinya.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai agihan bantuan berkenaan dan akan menghantar delegasi khas ke negara itu untuk memastikan janji pihak berkuasa Myanmar dan Bangladesh menyampaikan bantuan disempurnakan.

“Barangan bantuan kemanusiaan telah diserah kepada pihak berkuasa Myanmar ketika Flotilla sampai di Pelabuhan Yangon pada 9 Februari 2017 dan kepada International Organization of Migrants (IOM) and International Red Cresent (IRC), di Pelabuhan Chittagong Bangladesh pada 14 Februari 2017 sebagaimana dipersetujui oleh urusetia FFFM.

“Sebagai menghormati hak negara tersebut menetapkan syarat, maka flotilla telah akur dan memenuhi kehendak tersebut walaupun ramai aktivis flotilla yang kecewa kerana tidak dapat melihat sendiri kem dan mengedarkan bantuan secara langsung kepada mangsa pelarian Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mapim turut menggesa agar kedua-dua negara yang telah diserahkan tanggungjawab mengagihkan bahan bantuan supaya menunjukkan kesungguhan dalam menjalankannya seperti yang dijanjikan.

“Sumbangan dari pelbagai pihak NGO Malaysia dan antarabangsa dan rakyat biasa merupakan amanah yang perlu ditunaikan.

“Kedua-dua negara tersebut telah mensyaratkan Food Flotilla for Myanmar menyerahkan bantuan kepada pihak berkuasa negara berkenaan.

“Adalah suatu yang mencemarkan imej negara yang berkenaan jika bantuan tidak disampaikan. Integriti pihak kerajaan kedua-dua negara berkenaan akan dipersoalkan jika misi flotilla itu dikhianati,” katanya.

Katanya lagi, Mapim tidak akan berhenti hanya dengan flotilla yang baru selesai tetapi akan merancang gerak kerja berpanjangan sehingga isu Rohingya yang ditindas akan dihentikan oleh rejim yang kini memerintah Myanmar.

“Kami menegaskan isu utama Rohingya adalah mengenai hak kerakyatan. Namun, sebagai tindakan jangka pendek, Mapim mengerakkan operasi menghantar bantuan kemanusiaan.

“Ini adalah kerana tindakan Myanmar yang terus menerus melancarkan operasi penghapusan etnik Rohingya, maka ratusan ribu menjadi mangsa sehingga mereka terputus bekalan makanan dan dipaksa tinggal di kem-kem pelarian.

“Oleh yang demikian, Mapim akan tetap mengembeling dan mengambil inisiatif merancang dan melaksana Food Flotilla for Myanmar. Apa yang penting, masyarakat dunia diharap akan memberi perhatian kepada usaha Malaysia dan bertindak menekan Myanmar agar menghentikan penindasan,” katanya.

 

Comments