Home Tempatan Mangsa ‘Sangkaan Baik’, Banyak Tahfiz Tangkap Muat, Tiada Kualiti – Dr Maza

Mangsa ‘Sangkaan Baik’, Banyak Tahfiz Tangkap Muat, Tiada Kualiti – Dr Maza

SHARE

Perlis: Adalah amat penting untuk orang ramai memahami bahawa menjadi ilmuwan agama tidak terbatas kepada penghafalan nas dan bernasyid semata-mata. Ini adalah pandangan yang dilontarkan oleh Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin atau juga dikenali sebagai Dr Maza.

Kenyataan yang dibuat menerusi akaun Facebook Dr Maza sebagai susulan isu Tahfiz semasa kejadian kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 orang pelajar tahfiz.

Dr Maza menambah, selain menghafal nas, ilmuwan agama juga perlu mempunyai kemampuan untuk memahami hafalan dan menghuraikan Islam mengikut keperluan masa kini.

“…Amat penting untuk difahami bahawa menjadi ilmuwan agama bukan sekadar menghafal nas dan bernasyid semata, tetapi hendaklah mampu memahami apa yang dihafal dan dapat menghuraikan makna Islam selaras dengan tuntutan semasa,” tegas Dr Maza.

Dr Maza juga berpendapat bahawa gelaran ustaz itu bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga boleh dipercayai tanpa siasatan (tabayyun).

“…Gelaran ustaz bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga kita boleh mempercayai segala yang dia beritahu tanpa penelitian dan siasatan,” ujar Dr Maza lagi.

Dr Maza juga menyatakan bahawa terdapat ustaz-ustaz yang ingin menubuhkan sekolah sendiri atas tujuan peribadi bersama guru-guru yang gagal dalam pendidikan.

“Sebahagiannya hanya kerana semangat ‘ustaz-ustaz’ tertentu yang ingin menubuhkan sekolah sendiri di atas pelbagai tujuan peribadi lalu diwujudkan sekolah mereka sendiri sekalipun tidak memenuhi keperluan pendidikan yang sepatutnya. Ada ustaz dia sendiri gagal dahulunya gagal dalam pendidikan, akhirnya membuka sekolah sendiri tanpa memiliki sijil ataupun latihan pendidikan yang sepadan,” tegas Dr Maza lagi.

Merujuk kepada sebahagian maahad-maahad tahfiz sebagai sekolah-sekolah yang tidak berkualiti, Dr Maza mendakwa bahawa sekolah-sekolah ini menggunakan konsep tangkap muat dalam pengambilan tenaga pengajar.

“Sekolah-sekolah yang tidak berkualiti itu, bagi menjimatkan kos gaji guru, mereka mengambil sesiapa sahaja yang bersedia mengajar sekalipun bukan bidang berkaitan. Maka tenaga pengajar yang tidak cekap, tidak berpengalaman dan ‘bidan terjun’ ataupun ‘tangkap muat’ mengajar di sekolah-sekolah tersebut.”

Dr Maza melahirkan rasa dukacita beliau ke atas ibu bapa Muslim yang bersangka baik terhadap sekolah-sekolah tahfiz.

“Dukacita, akhirnya yang menjadi mangsa ialah ibu bapa dan anak-anak muslim yang ingin mencari ilmu agama tetapi tersalah tempat kerana ‘sangkaan’ baik kepada pusat-pusat tahfiz ataupun sekolah agama yang sedang tumbuh bagaikan cendawan ini.”

Comments