Home Antarabangsa Mangsa gempa bumi dibantu

Mangsa gempa bumi dibantu

SHARE
AB. HALIM TAMURI (berdiri, tiga dari kanan) bersama dengan sukarelawan PIMM dan penduduk dalam majlis pelancaran misi bantuan gempa bumi di Gampong Lhok Puuk, Banda Aceh, Indonesia semalam

BANDA ACEH 26 Feb. – Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM) hari ini memulakan misi membantu penduduk Pidie Jaya dekat sini yang terjejas akibat gempa bumi pada 7 Disember lalu.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, misi tersebut yang disertai 10 sukarelawan PIMM akan berakhir Selasa ini.

Beliau memberitahu, sepanjang misi berlangsung, PIMM akan menyalurkan wang seba­nyak RM48,000 yang disumbangkan pelbagai pihak sejak perte­ngahan Disember lalu kepada mangsa gempa bumi.

“Kesemua mereka tidak mempunyai kediaman akibat kejadian gempa bumi itu dan mereka sedang memulakan kehidupan baharu melalui bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian gempa bumi berskala 6.5 magnitud itu, seramai 97 penduduk di sekitar Pidie Jaya maut dan beberapa ratus orang lagi dilaporkan ce­dera manakala banyak rumah serta bangunan di kawasan berkenaan musnah.

Ab. Halim berkata, selain bantuan kewangan, PIMM juga menjalankan program lain termasuk kenduri sekampung bersama penduduk Gampong Lhok Puuk.

Beliau berkata, majlis ber­kenaan diadakan bagi meraikan penduduk kampung yang keba­nyakannya terdiri daripada golongan tidak berkemampuan.

“Bahan mentah disediakan oleh PIMM dan kerja-kerja memasak akan dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ab. Halim berkata, sukarelawan PIMM turut menziarahi tanah per­kuburan yang mengebumikan sebanyak 46,718 mangsa tsunami di Aceh Besar sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Pidie Jaya. – mingguan

utusan online

Comments