Home Tempatan Malaysia ubah nada, minta beri peluang Myanmar selesai isu Rohingya

Malaysia ubah nada, minta beri peluang Myanmar selesai isu Rohingya

Reezal berkata, kerajaan NLD pimpinan Aung San Suu Kyi menunjukkan usaha untuk menyelesaikan kemelut itu.

SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengambil pendekatan lunak dengan menggesa semua pihak memberi peluang kepada kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan konflik Rohingya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerajaan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi itu menunjukkan usaha untuk mengambil langkah proaktif seperti disarankan badan antarabangsa bagi menyelesaikan kemelut itu.

“Ia adalah ‘work in progress’. Kerajaan NLD pimpinan Suu Kyi baru ditubuhkan setahun.

“Usaha pembaharuan terhadap kerajaan yang puluhan tahun dikuasai junta yang melakukan kekejaman di Rakhine bukan mudah,” katanya dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, antara bukti kesungguhan kerajaan Myanmar adalah kerjasama untuk rombongan “Food Flotilla for Myanmar” dari Malaysia bulan lalu serta pemberhentian operasi keselamatan di Rakhine pada 15 Februari lalu.

Katanya, Myanmar pada sesi pemukiman peringkat Menteri-menteri Luar Negeri Asean pada 19 Disember lalu turut memberi jaminan akan memaklumkan situasi terkini di Rakhine dan membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki kawasan terbabit.

Sebelum ini, Myanmar dikritik dunia atas dakwaan bertindak zalim terhadap etnik Rohingya di negara itu, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengecam Suu Kyi tidak mengambil inisiatif melindungi golongan minoriti itu.

Kecaman Najib itu disambut kritikan daripada media Myanmar dan penasihat kepada bekas presiden Myanmar U Thein Sein, U Ko Ko Hlaing yang dipetik sebagai berkata, tindakan Najib menyasarkan kerajaan negara itu bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai daripada tuduhan dilemparkan ke atasnya.

Reezal berkata, sebarang usaha yang menjejaskan hubungan diplomatik 2 negara, termasuk menutup kedutaan Malaysia di Myanmar, hanya akan membantutkan usaha menyelesaikan masalah itu.

“Malaysia akan terus mengadakan perbincangan secara konstruktif dengan Myanmar. Ia dilakukan secara konsisten di pelbagai peringkat, termasuk peringkat pegawai kanan kerajaan, menteri luar dan pemimpin 2 kerajaan,” katanya.

Seramai 1.1 juta umat Islam Rohingya hidup di barat laut Myanmar tanpa kewarganegaraan. Kebanyakan rakyat Myanmar yang majoritinya penganut Buddha menganggap etnik Rohingya pendatang haram dari Bangladesh.

Sekurang-kurangnya 86 orang dilaporkan terbunuh, manakala kira-kira 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam pertumpahan darah paling teruk di rantau ini sejak kematian beratus orang dalam pergaduhan kaum pada 2012 di negara itu.

Free Malaysia Today

Comments