Home Tempatan Malaysia sertai mesyuarat cegah Daesh

Malaysia sertai mesyuarat cegah Daesh

SHARE
Gambar diambil daripada The Sun Daily.my

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Pakatan Global bersama 68 negara lain, bertujuan menangani penularan pengaruh Daesh di Washington, Amerika Syarikat (AS), Rabu ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang mengetuai delegasi negara, dijadual berucap mengenai ancaman semasa Daesh dari perspektif Malaysia dan serantau, selain cabaran serta langkah pencegahannya.

Beliau yang diiringi pegawai Wisma Putra, akan berkongsi pengalaman Malaysia dan usaha negara dalam mencegah keganasan melampau.

Selain pengaruh Daesh, mesyuarat dihoskan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson, itu dijangka membincangkan isu seperti keperluan bantuan kemanusiaan dan pembersihan periuk api serta bantuan penstabilan kawasan di Iraq dan Syria yang pernah ditawan Daesh.

Perbincangan mesyuarat akan memfokus usaha mengenal pasti mekanisme terbaik ke arah mencegah Daesh daripada terus melancarkan serangan keganasan hingga meragut ribuan nyawa di seluruh dunia.

“Mesyuarat juga akan memberi perhatian khusus terhadap usaha mengekang penularan ideologi kumpulan pengganas menerusi naratif palsunya,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Anifah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Tillerson buat kali pertama, bagi membincangkan isu kepentingan bersama dan pembangunan global serta serantau.

“Pertemuan ini signifikan selepas mengambil kira lawatan kerja pertama Anifah ke AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump,” katanya.

Berita Harian

Comments