Home Tempatan Malaysia perlu jadi perantara Isu Arab Saudi/Qatar – Dato’ Zainul Rijal Abu...

Malaysia perlu jadi perantara Isu Arab Saudi/Qatar – Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar

SHARE

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memandang berat situasi yang berlaku antara Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain dengan Qatar, kata presidennya Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurutnya, peristiwa yang berlaku di bulan Ramadan ini sangat mengejutkan umat Islam apabila hubungan beberapa negara Islam dengan Qatar diputuskan.

“Perpecahan umat Islam di peringkat antarabangsa semakin jelas dengan tindakan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, natijahnya sebaik penamatan hubungan tersebut, pelbagai pihak seolah-olah berebut-rebut mahu merakamkan pendapat mereka sama ada menyebelahi kumpulan negara-negara yang memutuskan hubungan diketuai Arab Saudi ataupun Qatar.

“Maka pelbagai tulisan pandangan serta kenyataan diberikan memuji satu pihak dan menghina pihak yang satu lagi, begitulah juga sebaliknya termasuk pelbagai ungkapan dan cerita yang sebelum ini tidak pernah didengar sudah mula ditularkan,” katanya.

Dato’ Zainul Rijal berkata, apapun alasan pemutusan hubungan tersebut ataupun pembelaan yang diberikan oleh pihak Qatar, PPMM merayu agar umat Islam khasnya tidak terkinja-kinja menyokong sesepihak dan menghina sesepihak yang lain.

“Betul atau tidaknya suatu pihak, sewajarnya bukanlah perkara yang menjadi teras kepada tindakan kita,” katanya.

Menurut beliau, sebaliknya PPMM mendesak umat Islam amnya dan Kerajaan Malaysia khasnya supaya memainkan peranan menjadi perantara menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik berdasarkan prinsip-prinsip agama Islam.

Beliau berkata, memainkan peranan sebagai perantara atau mediator ini adalah lebih mulia daripada menyokong mana-mana pihak sama ada betul atau salah.

“Malaysia perlu menzahirkan sikap neutral bagi menjalankan peranan sebagai perantara ini,” katanya.

“PPMM juga menyeru umat Islam secara umumnya agar menghentikan memihak mana-mana pihak, berusaha mendamaikan dua saudara yang sedang bertikai atau sekurang-kurangnya berdoa agar kemelut yang dihadapi negara Islam di bulan Ramadan ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Menurutnya, mendamaikan antara dua pihak yang bertikai adalah lebih baik dari memarakkan pertikaian dengan menyokong mana-mana pihak.

Menurut beliau lagi, PPMM juga menyeru kumpulan negara-negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar dan Qatar sendiri berunding atas semangat Islam di bulan Ramadan ini bagi mencari jalan penyelesaian kemelut kedua pihak ini.

“PPMM percaya kebolehan dan kemampuan Malaysia menjadi orang tengah menyelesaikan pertikaian ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, negara-negara Islam seharusnya merapatkan saf perpaduan dan bersatu dalam segala tindakan mereka. Negara dan umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab yang terlalu banyak untuk digalas bersama.

“Kita sebenarnya sudah tidak mempunyai masa untuk bercakaran sesama sendiri, kepentingan agama Islam dan persaudaraannya hendaklah diberi keutamaan,” katanya bagi mengakhiri temubual.

Comments