Home Tempatan Malaysia Perkenal Proses Prapemeriksaan Jemaah Haji Di KLIA

Malaysia Perkenal Proses Prapemeriksaan Jemaah Haji Di KLIA

SHARE
Datuk Ab Aziz Kaprawi. Sumber Gambar: Sinar Harian

SEPANG, 25 Ogos (Bernama) — Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang memperkenalkan pembuktian konsep (POC) bagi prapelepasan jemaah haji di tempat berlepas.

POC pertama di dunia untuk prapelepasan jemaah haji itu dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini serta melibatkan 287 jemaaah yang akan berlepas ke Arab Saudi dengan pesawat sewa khas Malaysia Airlines Penerbangan MH8146.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, yang menyaksikan pelaksanaan POC di KLIA hari ini, berkata inisiatif perintis itu bertujuan memudahkan urusan ketibaan jemaah di Arab Saudi.

Menurut beliau, jemaah yang menjalani fasa POC akan melalui pelepasan imigresen oleh pegawai Imigresen Arab Saudi, sebelum mereka menaiki pesawat di KLIA.

“Setibanya mereka di terminal haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, jemaah akan diiring untuk lalu di lorong khas, tanpa perlu menjalani pelepasan imigresen seperti biasa dan ini tidak memerlukan mereka menunggu berjam-jam lamanya.

Selalunya, jemaah perlu melalui lima hingga enam jam proses imigresen di Arab Saudi. Kini, keseluruhan proses imigresen akan dikendalikan di KLIA dan jemaah boleh terus menuju ke tempat mengambil bagasi. Ia hanya mengambil masa 30 minit,” katanya.

Bercakap kepada pemberita, Ab Aziz berkata Malaysia bertuah kerana dipilih kerajaan Arab Saudi sebagai tempat perintis dan POC dirancang dilaksanakan selama lima hari, bermula hari ini hingga Isnin depan serta melibatkan 112 penerbangan.

Turut hadir, pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan pengarah urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali.

Abdul Azeez berkata Arab Saudi memilih Malaysia untuk melaksanakan projek perintis itu berikutan wujudnya hubungan akrab antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan keyakinan kerajaan negara itu terhadap kemajuan Malaysia dalam bidang infrastruktur pengangkutan serta kemudahan berkelas dunia.

Katanya, ujian mengenai projek perintis itu yang melibatkan 80 jemaah, berjalan dengan baik dan mereka menerima sambutan mesra daripada pihak Imigresen Arab Saudi di Jeddah.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi juga menghantar 50 pegawai daripada Jabatan Imigresen dan Kementerian Luarnya untuk mengendalikan POC di KLIA untuk kemudahan jemaah Malaysia.

Bernama

Comments