Home Tempatan Malaysia naik dua anak tangga dalam laporan daya saing global

Malaysia naik dua anak tangga dalam laporan daya saing global

SHARE

KUALA LUMPUR, 27 Sept ― Malaysia naik dua anak tangga kepada kedudukan ke-23 daripada 137 negara dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2017-2018 berbanding tahun lepas pada kedudukan ke-25 daripada 138 negara.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia mengatasi Ireland, Qatar dan kekal berada di hadapan ekonomi seperti Korea Selatan, China, Iceland dan Estonia.

Kajian yang menggunakan 70 peratus data tinjauan dan 30 peratus “hard data” daripada 137 negara, mengambil kira 12 tonggak daya saing untuk menentukan kedudukan negara.

Secara keseluruhannya, Switzerland disenaraikan sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut, mengatasi Amerika Syarikat dan Singapura, diikuti Belanda dan Jerman.

Malaysia Productivity Corp (MPC), yang mengeluarkan data tersebut di peringkat tempatan, berkata prestasi Malaysia terus kukuh dan konsisten berikutan ia mengekalkan pada kedudukan 25 teratas.

“Antara ekonomi pesat membangun di rantau Asia Timur dan Pasifik, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai yang paling kompetitif dalam peringkat peralihan daripada dipacu kecekapan kepada dipacu inovasi,” kata Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussien, pada sidang media.

Beliau berkata kedudukan lebih baik itu berikutan peningkatan dari segi skor daripada 10 petunjuk dalam 12 tonggak yang mengukur aspek daya saing ekonomi makro dan mikro.

12 tonggak itu: Institusi, Prasarana, Persekitaran Makroekonomi, Kesihatan dan Pendidikan Utama, Pendidikan Tinggi dan Latihan, Kecekapan Pasaran Barangan, Kecekapan Pasaran Buruh, Pembangunan Pasaran Kewangan, Kesediaan Teknologi, Saiz Pasaran, Kecanggihan Perniagaan dan Inovasi.

“Malaysia mencatat prestasi paling kukuh dalam pembangunan pasaran kewangan, diikuti kesihatan dan pendidikan utama, prasarana dan persekitaran makroekonomi,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menyambut baik peningkatan GCR pada tahun ini, menyatakan kedudukan terkini itu mengesahkan pengukuhan daripada asas makroekonomi negara dan dasar ekonomi yang berada di landasan yang tepat.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

The Malay Mail Online

Comments