Home Tempatan Malaysia Memerlukan Pemimpin Seperti Nik Abdul Aziz

Malaysia Memerlukan Pemimpin Seperti Nik Abdul Aziz

SHARE

KUALA LUMPUR: “Kontroversi yang berlaku ini sedikit sebanyak menyukarkan organisasi Kristian lain untuk memahami sepenuhnya pelaksanaan RUU 355 walaupun pelaksanaan itu nanti bersifat positif terhadap Perlembagaan Persekutuan,” kata aktivis Christi Hon Kah Seong.

Hal ini sama juga dengan orang Islam sendiri yang kurang memahami agama Kristian atau Buddha jadi tidak hairanlah apabila berlaku pertembungan idea dan ketidakfahaman, maka tercetus perbalahan dan penolakan.

Beliau berkata, antara sebab kemarahan penganut Kristian terhadap Islam ialah isu rampasan mayat yang berlaku baru-baru ini yang memberi kesan mendalam terhadap satu keluarga Kristian di Sarawak sehingga menimbulkan kemarahan terutama dari ibubapa, keluarga dan masyarakat Kristian sehingga kini.

Menurutnya, beliau kurang faham mengapa perlu disembunyikan jika seseorang itu memeluk agama Islam; bukankah itu suatu perkara yang menggembirakan dan perlu diraikan; maka hal ini antara penyebab penganut agama lain memandang serong terhadap Islam yang bersikap suka bergerak secara bersembunyi.

Katanya lagi, sebenarnya setiap agama tidak kira samada Islam, Kristian, Hindu atau Buddha sekalipun tidak mengajar penganutnya membuat perkara yang tidak baik, namun yang menjadikan perkara itu buruk adalah sifat individu itu sendiri.

Menurut beliau, walaupun begitu, di Malaysia setakat ini tidak ada hak orang Melayu yang dirampas, berlainan hak orang Cina yang sering dirampas oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. “Hal ini juga sering menjadi perbalahan dan pertikaian terhadap bangsa dan penganut agama lain selain Islam,” katanya.

Beliau berkata, secara peribadi beliau sendiri sememangnya menyokong seratus peratus pelaksanaan RUU 355 kerana percaya ia hanya dilaksanakan terhadap orang Islam sahaja.

Namun, beliau turut meletakkan satu syarat lain iaitu RUU 355 ini mesti dikhaskan terlebih dahulu kepada kepimpinan tertinggi negara  termasuk Menteri dan Timbalan Menteri, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta kakitangan kerajaan.

Menurut beliau, golongan inilah yang sering terlepas dari tindakan undang-undang apabila melakukan kesalahan terutamanya pemimpin tertinggi dan menteri-menterinya.

“Justeru, pelaksanaan ini mestilah didahului dengan hukuman terhadap mereka terlebih dahulu dari dilaksanakan terhadap golongan rakyat bawahan yang sedang dihimpit kesusahan dan kesengsaraan di negara sendiri,” katanya.

Ditanya “Apakah mungkin sebab penentangan oleh beberapa organisasi dan individu kristian terhadap RUU 355?”, beliau menegaskan penentangan ini adalah disebabkan ketidakadilan kerajaan dalam melaksanakan undang-undang, rasuah, salah guna kuasa di peringkat tertinggi namun, terlepas daripada menerima hukuman sepatutnya hatta Perlembagaan dan Undang-undang Persekutuan juga tidak dapat berbuat apa-apa terhadap golongan ini kerana mereka seolah-olah kebal terhadap hukuman undang-undang.

“Bayangkan jika pelaksanaan RUU 355 itu nanti, betapa rakyat golongan miskin yang terpaksa mencuri kerana desakan hidup dan dibelenggu kemiskinan jika ditangkap kemudian dihukum dengan begitu kejam hanya kerana kesalahan kecil, adakah negara ini adil dalam menjalankan penghakiman melalui undang-undang,” katanya.

Menurutnya, pembantu kerajaan misalnya, boleh diumpamakan sebagai pembantu rumah kita dan rakyat sebenarnya adalah “boss”, tetapi berlaku sebaliknya di Malaysia, pemimpin dan kakitangan kerajaan pula “boss”. Kemudian, menekan orang bawahan (rakyat) dan tidak sepenuhnya membantu, jika pun membantu pasti mengharap balasan sekaligus memaksa jenayah rasuah pula berlaku.

Beliau berkata, jika didapati golongan bawahan (rakyat jelata) ini bersalah, undang-undang dengan segera menjatuhkan hukuman tanpa melihat dari pelbagai sudut lain, contohnya keterpaksaan melakukan jenayah kerana desakan hidup dan sebagainya tanpa mendapat pembelaan sewajarnya di peringkat Mahkamah. Tetapi apabila kesalahan ataupun jenayah dilakukan oleh orang atasan, pelbagai hujah dan bukti-bukti yang “diada-adakan” akan diberikan oleh peguam yang hebat diberi upah lumayan bagi menidakkan kesalahan itu.

“Maka pihak atasan sewenang-wenangnya terlepas dari hukuman yang setimpal dan inilah antara sebab penentangan yang dilakukan oleh semua pihak di semua peringkat terhadap pelaksanaan undang-undang ini,” katanya.

Menurut Christi, RUU 355 jika dilihat sebagai alat mengurangkan jenayah, itu adalah tidak tepat bahkan boleh jadi jenayah semakin berleluasa dan ini disebabkan pihak yang memerintah sendiri tidak serius dalam mengatasi jenayah. Contohnya, gesaan kerajaan untuk menghentikan rokok tetapi kita tetap boleh menghisap juga dan kerajaan tetap juga mengeluarkan lesen untuk menjualnya disebabkan cukai yang menguntungkan. Tidakkah kempen berhenti rokok ini dilihat hanya sebagai alat sandiwara sahaja.

“Selepas itu, kerajaan menekan pula perniaga dan pengguna dengan menaikkan harga rokok ketahap yang melampau sekaligus jenayah penyeludupan rokok haram yang tidak membayar cukai pun berlaku,  jadi jenayah akan tetap berlaku bahkan akan terus bertambah dari hari ke hari. Kesimpulannya, perkara ini terjadi hasil daripada tangan mereka juga sebenarnya,” katanya.

Menurut beliau, apa yang penting ialah sesebuah negara perlu mempunyai pemimpin tertinggi yang baik yang boleh dijadikan contoh seperti bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat yang mempunyai kreadibiliti dan kepemimpinan yang begitu bersopan santun terhadap semua kaum dan rakyat Malaysia walaupun beliau kurang cekap dari segi ekonomi dunia.

Adakah pemimpin sebegini masih wujud di dalam negara kita? Jika tidak ada, maka, jenayah akan terus berlaku. Sikap tuding jari kerajaan terhadap kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh rakyat hanya akan menambah kebencian sedangkan, mereka lebih hebat dalam melakukan jenayah yang besar dan berkuasa pula menyembunyikannya.

“Saya sendiri ada berjumpa dan menyantuni beberapa pemimpin PAS termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi mendengar sendiri penjelasan perkara bersangkutan dengan RUU 355 untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas.”

Walau bagaimanapun, Christie mengakui dia tidak mempunyai kuasa sendiri untuk menerangkan kepentingan pelaksanaan RUU 355 ini kepada bukan Muslim.

“Namun, secara peribadi saya merasakan perkara ini sangat penting dan mesti diterangkan secara terperinci bagi meluaskan lagi kefahaman kepada semua kaum dan agama sebelum dilaksanakan RUU 355 ini.”

“Nasihat saya, Malaysia mesti ada rakyat yang baik, pemimpin yang mulia dan tidak menekan rakyat bawahan. Sekarang ini kepimpinan yang ada lebih mementingkan diri sendiri tanpa mendengar denyut nadi rakyat secara halus.”

“Rakyat merasa begitu curiga dengan tindak tanduk kerajaan yang menghabiskan wang rakyat termasuk hutang negara berjumlah ratusan juta sehingga rakyat hidup dalam kesusahan dan tidak seimbang,” katanya.

Comments