Home Tempatan Malaysia main peranan dalam kebangkitan negara Islam – Hishammuddin

Malaysia main peranan dalam kebangkitan negara Islam – Hishammuddin

SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam kebangkitan negara-negara Islam dalam berdepan kuasa besar dunia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, gandingan ikhlas itu menaikkan sekali nama negara sebagai wadah Islam sebenar.

Jelasnya, agak mustahil jika mahu berdepan dengan kuasa luar yang mempunyai aset lebih besar berbanding negara Islam.

“Mereka melihat kita sebagai satu wadah yang boleh membantu membetulkan imej Islam sedunia dan gandingan di antara negara ini akan semakin kuat apabila berdepan kuasa besar.

Ia akan menjadi lebih mudah daripada kita berdepan Amerika Syarikat (AS), China atau Eropah secara bersendirian dan kita bersyukur mereka melihat Malaysia boleh menunjukkan imej dan kepimpinan yang mereka harapkan,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian semasa sidang media sempena kunjungan hormat Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith di pejabatnya di sini hari ini.

UAE merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia di Asia Barat dan tahun lepas jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan sebanyak RM27.7 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding RM24.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, negara luar turut melihat kedudukan strategik Malaysia selain pendekatan erat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pemimpin luar.

“Kerana itu kita tidak terikat dengan mana-mana geo-politik negara luar sekali gus menjadi keyakinan ASEAN sebagai pasaran dan kuasa pertahanan serta wadah Islam sebenar,” ujarnya.

Hishammuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia dan Bahrain akan mengadakan latihan ketenteraan bersama dalam mengukuhkan kerjasama ketenteraan kedua-dua hala terutama dalam usaha mengekang ideologi pengganas.

Jelasnya, ia termasuk menjalin perkongsian maklumat dengan pasukan perisikan Bahrain dalam menangani keganasan melibatkan rantau ini serta Asia Barat.

Pada Februari lepas, Ketua Misi Kebudayaan di Kedutaan Diraja Arab Saudi Dr Zayed Al- Harithi berkata, lawatan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia disifatkan sebagai satu era baharu dalam hubungan Malaysia-Arab Saudi.

Tegasnya, lawatan oleh Penjaga Dua Masjid Suci itu mencerminkan hasrat baginda untuk meningkatkan hubungan kukuh yang sedia terjalin dengan Malaysia.

Comments