Home Tempatan Malaysia laksana pelbagai inisiatif kekang Daesh

Malaysia laksana pelbagai inisiatif kekang Daesh

SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan negara beriltizam untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan proaktif dalam usaha menangani pencerobohan kumpulan militan Daesh di negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Malaysia tidak akan tunduk terhadap ancaman Daesh dan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan negara ASEAN demi memastikan hasrat kumpulan militan untuk untuk bertapak dan menguasai rantau ini gagal.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau secara dekat perkembangan kegiatan kumpulan militan khususnya Daesh di Asia Barat kerana situasi di rantau itu berupaya memberi kesan besar terhadap keselamatan negara dan rantau ini.

Katanya, terbaru, pasukan keselamatan Iraq kembali menguasai beberapa daerah di kota lama Mosul daripada penaklukan anggota Daesh.

“Saya sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan dari negara ASEAN bagi membincangkan strategi dan pendekatan terbaik untuk memerangi kumpulan Daesh.

“Selaku Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas, saya sendiri bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan sentiasa berhubung dan berusaha memelihara tahap keselamatan dan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.

“Pagi tadi, saya menghubungi rakan sejawatan saya dari Filipina, Delfin Negrillo Lorenzana bagi menyatakan kesanggupan Malaysia untuk membantu Filipina dalam apa juga cara dan keadaan yang ketika ini berhadapan dengan ancaman keganasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, antara kerjasama terbaru dilaksanakan Malaysia untuk memerangi keganasan ialah inisiatif INDOMALPHI Trilateral Maritime Patrol (TMP) bersama Indonesia dan Filipina yang dilancarkan di Tarakan, Indonesia, baru-baru ini.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan anggota militan termasuk Daesh tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh ke tiga negara ini serta bagi menangani aktiviti lanun, penculikan dan rompakan bersenjata di perairan berkenaan.

Beliau berkata, susulan pelaksanaan TMP, Trilateral Air Patrol (TAP) membabitkan tiga negara itu bagi memperkasakan pengawasan keselamatan dan kesiapsiagaan ruang udara dan maritim di Laut Sulu dijangka akan dilancarkan di Subang.

“Saya juga akan berhubung dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jeneral James Mattis pada Khamis ini bagi membincangkan perkembangan terkini kegiatan kumpulan militan Daesh di Asia Barat.

“Perbincangan itu bakal menjadi platform terbaik untuk saya dan Mattis berkongsi pengalaman serta memperhalusi bentuk kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Pada masa sama, saya juga akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara di Asia Barat dalam masa terdekat, khususnya di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain,” katanya.

Beliau berkata, lawatan itu bertujuan bertemu pemimpin tertinggi negara terbabit bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi di Asia Barat, selain berkongsi pandangan berhubung pendekatan terbaik bagi menangani ancaman Daesh.

Hishammuddin juga akan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammad bin Salman bagi membincangkan penubuhan King Salman Centre For International Peace (KSCIP) di Kuala Lumpur serta pendekatan terbaik mengenal pasti inisiatif untuk mengekang penyebaran dakyah kumpulan pengganas.

Berita Harian

Comments