Home Antarabangsa Malaysia Kutuk Pelancaran Peluru Berpandu Balistik Oleh Korea Utara

Malaysia Kutuk Pelancaran Peluru Berpandu Balistik Oleh Korea Utara

SHARE

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) — Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu lagi pencabulan jelas terhadap pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Selain itu, ia turut menjejaskan rejim sejagat mengenai pelucutan dan ketakcambahan senjata nuklear.

Wisma Putra, dalam kenyataan malam ini, berkata Malaysia menyuarakan kebimbingan yang serius berikutan peluru balistik sekali lagi telah merentasi wilayah berdaulat Jepun, sekali gus memberi ancaman secara langsung terhadap keselamatan negara tersebut.

“Tindakan provokasi sedemikian terus memudaratkan ketegangan yang sedia wujud di Semenanjung Korea dan rantau ini. Ia adalah adalah satu lagi tindakan yang menjejas usaha masyarakat antarabangsa dalam mencari penyelesaian muktamad dan keamanan berkekalan di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu.

Agensi berita China, Xinhua, hari ini melaporkan bahawa tentera Amerika Syarikat dalam kenyataan menyebut bahawa ia telah mengesan pelancaran peluru berpandu balistik perantaraan jarak dekat berhampiran Sunan di Pyongyang, pada jam 11.57 pagi waktu Hawaii (2157 GMT).

Agensi berita itu memetik Pemerintah Tentera Amerika Syarikat di Pasifik sebagai berkata bahawa peluru berpandu itu melintasi bahagian utara Jepun sebelum mendarat di Lautan Pasifik di bahagian timur Jepun.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Bernama

Comments