Home Tempatan Malaysia komited sokong pengantaraan sebagai proses keamanan

Malaysia komited sokong pengantaraan sebagai proses keamanan

SHARE
KUALA LUMPUR 19 JANUARY 2017. Menteri Luar Negara, Datuk Seri Anifah Aman menjawab soalan media di sidang akhbar selepas Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memulakan persidangan bagi membincangkan masyarakat Islam Rihingya Myanmar di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur. NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Malaysia komited dalam menyokong pengantaraan sebagai alat untuk menggalakkan dan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan dalam kalangan negara.

Komitmen itu disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada Persidangan Peringkat Tertinggi Mengenai Pengantaraan di Brussels, Belgium, hari ini.

Anifah berkata, ketika dalam Majlis Keselamatan PBB pada tahun 2015 dan 2016, Malaysia secara konsisten menyokong langkah itu sebagai alat menyelesaikan konflik secara aman.

“Malaysia menggalakkan pendekatan sederhana yang menekankan toleransi, keamanan, saling memahami serta menghormati kepelbagaian dan keterangkuman. Kami percaya konsep kesederhanaan memainkan peranan penting dalam proses meningkatkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Malaysia percaya, kesederhanaan penting dalam usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Karakter pendekatan yang inklusif ini sesuai untuk semua termasuk golongan minoriti. Misalnya, krisis kemanusiaan di kaum minoriti Rohingya Islam di Rakhine, Myanmar dapat ditangani secara berhemah tanpa diskriminasi.

“Dalam konteks Asia Tenggara pula, Malaysia terbabit sebagai fasilitator pengantaraan bagi proses damai di Selatan Filipina membabitkan Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Bangsa Moro (MILF). Pada 27 Mac 2014, usaha ini (pengantaraan) ini berhasil apabila kedua-dua pihak bersetuju menandatangani Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro.

“Selain itu, Malaysia terbabit sebagai fasilitator untuk Dialog Keamanan Selatan Thailand secara berterusan sejak tahun 2013, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lawatan rasmi Anifah ke Brussels bagi menghadiri persidangan itu atas undangan daripada rakan sejawatannya yang juga Timbalan Perdana Menteri Belgium Didier Reynders, mendorong kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Persidangan yang bertemakan ‘Pengantaraan: Kemungkinan dan Had – Pengalaman dalam Mencapai Keamanan’, untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dengan negara khusus sebagai kajian kes dalam bidang pengantaraan menerusi tiga perbincangan panel.

Berita Harian

Comments