Home Tempatan Malaysia digesa jangan hantar pulang umat Islam Uighur ke China

Malaysia digesa jangan hantar pulang umat Islam Uighur ke China

SHARE

PETALING JAYA: Pertubuhan hak asasi manusia global Human Rights Watch (HRW) hari ini menggesa Malaysia tidak mengusir 11 etnik Uighur Islam dari China yang dilaporkan ditahan di Malaysia, selepas melarikan diri dari penjara Thailand tahun lepas.

HRW berkata etnik Uighur seharusnya diberi akses segera bagi prosiding penentuan status pelarian oleh agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Etnik Uighur yang dihantar pulang ke China secara paksa dipercayai berdepan ancaman penjara dan penyeksaan, jadi ia sangat kritikal agar Malaysia tidak mengusir mereka yang didakwa sebagai etnik Uighur secara paksa ke China,” kata Pengarah HRW Asia, Brad Adams dalam satu kenyataan.

“Pihak berkuasa Malaysia harus membenarkan individu ini melalui proses yang adil untuk menentukan tuntutan pelarian mereka dengan tidak menghantar mereka ke China berdasarkan permintaan Beijing.”

Sebelas etnik Uighur itu adalah sebahagian daripada sekumpulan 20 orang yang melarikan diri dari pusat tahanan berhampiran sempadan Thailand-Malaysia pada November lalu, dengan menggali lubang di dinding dan menggunakan selimut sebagai tangga.

Pelarian tersebut adalah sebahagian daripada lebih 200 orang yang ditahan di Thailand pada 2014.

Ahli kumpulan itu memperkenalkan diri mereka sebagai warga Turki dan meminta agar mereka dihantar ke Turki tetapi lebih 100 orang dikembalikan ke China secara paksa pada Julai 2015, lapor Reuters.

Semalam, sumber memberitahu Reuters, 11 etnik Uighur ditahan di utara Malaysia, dan China sedang berbincang dengan kerajaan mengenai pengusiran mereka.

“Ia (Malaysia) berada dalam tekanan hebat dari China untuk menyerahkan mereka ke negara itu, bukannya ke Thailand,” kata satu sumber yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Adams berkata kes yang lalu menunjukkan etnik Uighur yang dikembalikan ke China biasanya berdepan dengan risiko penganiayaan.

“Malaysia perlu memastikan 11 individu itu dilindungi dan tidak dihantar untuk menerima kemudaratan,” katanya.

Adams juga berkata Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara yang menghantar pulang etnik Uighur ke China beberapa tahun kebelakangan ini.

September lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia menahan 29 “militan Uighur” yang terlibat dengan IS.

Zahid berkata China memuji Malaysia atas penangkapan itu dan menjalinkan kerjasama 2 hala dalam keselamatan sejak hubungan diperkuatkan.

Etnik Uighur adalah kumpulan majoriti di wilayah Xinjiang, China yang mempunyai penduduk majoriti Islam.

China dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang dengan menyeksa tahanan Uighur dan melaksanakan kawalan ketat terhadap agama dan budaya mereka. Bagaimanapun, negara itu menafikan sebarang tuduhan.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Free Malaysia Today

Comments