Home Tempatan Malaysia dan Israel Banyak Persamaan – Bekas Timbalan Duta Israel

Malaysia dan Israel Banyak Persamaan – Bekas Timbalan Duta Israel

SHARE

Petaling Jaya, Selangor: Beberapa diplomat Israel dilaporkan telah dibenarkan masuk ke Malaysia bagi menyertai persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut laporan Free Malaysia Today, jurucakap Kementerian Luar Israel mengesahkan pasukan diplomat kanan itu diketuai oleh bekas Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet.

Roet yang memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia dan menyatakan harapannya untuk melihat kerjasama antara Malaysia dan Israel pada masa hadapan

“Saya mempunyai harapan besar tentang hubungan baik kedua-dua negara di masa depan”.

Dakwa Roet lagi, dia mendapati bahawa Malaysia dan Israel mempunyai “banyak persamaan” selain memuji masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang “bekerjasama untuk masa depan yang lebih baik”.

WUF dihadiri wakil dari 185 buah negara dan dianjurkan Program Penempatan Manusia PBB atau UN-Habitat.

Selaku tuan rumah, Malaysia disyaratkan meluluskan visa kepada semua perwakilan.

Sebelum ini, pasukan kriket Israel memasuki Malaysia bagi menghadiri satu kejohanan kriket di ibu negara pada tahun 1997 dan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia yang tidak mahu pemain-pemain kriket Israel menjejakkan kaki ke negara ini.

Malaysia tidak pernah mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis tersebut dan telah mengekalkan dasar pro-Palestin yang teguh namun, menurut laporan Bank Dunia, pada tahun 2015, nilai eksport Israel ke Malaysia bernilai hampir RM6 bilion. Ini tidak menghalang Putrajaya daripada mengutuk keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf bandar Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel baru-baru ini.

Comments