Home Kolumnis Malaysia Dalam Perlumbaan Angkasa

Malaysia Dalam Perlumbaan Angkasa

SHARE

Tanggal 10 Oktober 2017 menandakan genap sedekad angkasawan pertama negara Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha dilancarkan ke angkasa lepas dari Baikonur, Kazakhstan. Sheikh Muszaphar berada di International Space Station (ISS) atau Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa selama sembilan hari. Ekspedisi ini telah dibolehkan melalui pembelian 18 buah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM oleh Tentera Udara Diraja Malaysia, di mana Russia telah bersetuju untuk menghantar seorang angkasawan ke ISS.

Pada awalnya sebagai rakyat Malaysia, kita tumpang gembira di atas kejayaan ini, namun selepas beberapa ketika, ramai yang mula mempersoalkan kos pemergian yang mungkin boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik. Sungguhpun kos ini telah ditanggung oleh Russia tetapi ramai yang mempersoalkan faedah ekspedisi ini kepada ekonomi negara.

Pada awalnya, penulis juga mempersoalkan faedah pemergian satu orang dari hampir tiga puluh juta penduduk negara ketika itu ke angkasa lepas untuk 9 hari. Persoalan itu dijawab baru-baru ini menerusi satu rencana terbitan National Geographic Magazine edisi bulan Ogos tahun ini.

Kita perlu menelusuri sejarah penerokaan angkasa lepas demi memahami faedah-faedah yang menanti bagi negara-negara yang terlibat, keadaan semasa dan masa depan penerokaan ini.

Satelit pertama yang dilancarkan ke angkasa lepas diberi nama Sputnik-1 dan dilancarkan pada 4 Oktober, 1957, manakala manusia pertama di angkasa lepas adalah Yuri Alekseevich Gagarin, pada 12 April 1961. Mengambil kira pemergian Sheikh Muszaphar ke ISS berlaku pada tahun 2007, kita tercicir di belakang Russia sebanyak 56 tahun. Ini tidak termasuk keciciran dari perspektif teknologi aero-angkasa pembinaan roket, sistem kawalan, teknologi sokongan dan lain-lain lagi.

Sungguhpun rencana tersebut tidak mengkhabarkan pemergian Sheikh Muszaphar secara langsung, namun ianya menyatakan kepentingan eksplorasi angkasa lepas dari aspek penyelidikan dan pembangunan teknologi, perkembangan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan intelektual di sesebuah negara.

Satu pertandingan jangka panjang sedang diadakan oleh Google yang dinamakan Google Lunar Xprize dengan hadiah bernilai USD 20 juta (RM 83 juta). Cabarannya adalah untuk menghantar sebuah kenderaan ke bulan untuk bergerak sekurang-kuranya 500 meter dan menghantar balik imej serta video ke bumi.

Pasukan negara yang diberi nama Independence X tewas setelah berjuang dengan gigih pada pusingan kedua selepas menewaskan pesaing dari Germany, Sepanyol, Cina, Russia dan lain-lain lagi, namun tidak ramai yang mengetahui kewujudan usaha ini.

Ramai yang mungkin tertanya faedah perlumbaan ini kepada orang awam, mari kita lihat serba sedikit berkenaan faedah yang dapat kita nikmati.

Perkembangan teknologi solar adalah akibat daripada hasil usaha industri angkasa lepas, tanpa kewujudan satelit, mungkin kita pada hari ini tidak akan dapat menikmati panel solar yang begitu efisien dan kian murah.

Memandangkan satelit adalah suatu objek yang teramat mahal, kompleks dan terbatas dari saiznya, segala usaha untuk memaksimumkan pulangan akan dilakukan, ini termasuk meletakkan satelit selama yang mungkin di angkasa lepas, menerima dan menghantar sebanyak mungkin data, beroperasi dengan sekurang-kurang penggunaan tenaga, serta memenuhi keperluannya.

Untuk menghantar dan menerima data yang banyak, keperluan tenaga adalah sangat tinggi. Di angkasa lepas hanya terdapat satu cara untuk menghasilkan tenaga, iaitu melalui cahaya matahari. Maka panel solar yang lebih canggih dihasilkan saban tahun dengan harga yang lebih murah di samping memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat.

Hasil pembangunan dalam panel solar ini telah memungkinkan panel solar yang lebih efisien digunakan di kawasan-kawasan terpencil di muka bumi untuk tujuan penghasilan tenaga elektrik, sekaligus memansuhkan keperluan untuk infrastruktur yang mahal demi membekalkan tenaga elektrik ke kawasan-kawasan yang jauh dari stesen janakuasa.

Apabila tiba malam, satelit perlu beroperasi menggunakan bateri, dan antara kemajuan yang dicapai di dalam teknologi penyimpanan cas elektrik telah memungkinkan penghasilan bateri yang lebih murah dan mampu menyimpan lebih banyak tenaga elektrik.

Terdapat banyak lagi nikmat pembangunan hasil dari industri angkasa lepas yang kita nikmati tetapi tidak disedari.

Antara satelit yang popular adalah buruj GPS atau Global Positioning System Constellation. Sistem satelit ini dimiliki oleh Kerajaan Amerika Syarikat dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) bertanggungjawab untuk memastikan kemandirian sistem ini pada setiap masa. GPS dibuka kepada orang awam untuk menggunakannya, sehingga Ogos 2017 terdapat 31 satelit yang berfungsi di dalam buruj ini. Pada tahun 2012 kos harian untuk mengendalikan sistem ini adalah USD2 juta (RM 8.3 juta).

Namun keuntungan keseluruhan yang diperolehi jauh mengatasi kos pembinaan, untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan GPS anda boleh layari laman rasmi GPS.

Pada hakikatnya, pembangunan sains dan teknologi tidak pernah mengecewakan, selagi mana ianya dibuat dengan matlamat yang jelas dan cara yang betul. Internet yang kita nikmati pada hari ini adalah pada satu ketika dahulu untuk kegunaan komunikasi ketenteraan.

Begitu juga dengan pelbagai teknologi lain yang dinikmati pada hari ini adalah hasil dari perlumbaan angkasa dan/atau teknologi ketenteraan. Selagi mana kita mengambil enteng kepentingan teknologi-teknologi dan kajian-kajian saintifik selama itulah kita akan memerlukan khidmat bantuan dari negara-negara Barat demi memajukan negara.

Alangkah baiknya sekiranya projek Independence X boleh diteruskan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam negara dengan kerjasama gergasi-gergasi penerokaan angkasa lepas yang sedia ada.

Sudah tentu usaha ini boleh menghasilkan peluang pekerjaan baru, menjana ekonomi negara melalui perbelanjaan kerajaan dan pulangan yang menanti. Harapannya, agar rakyat Malaysia terus bersemangat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pengeksport teknologi yang ulung demi masa depan kita bersama.

*Pandangan yang dilontarkan adalah dari penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Menara.my.

Comments