Home Tempatan Malaysia Bukan Negara Bangsa

Malaysia Bukan Negara Bangsa

SHARE

SHAH ALAM – Malaysia bukanlah sebuah negara bangsa seperti yang cuba dibawakan oleh sesetengah pihak kebelakangan ini. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan keturunan.

Menurut Dr. Mohd Fauzi Shaffie, Pengurus Besar di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), beliau tidak bersetuju dengan pengertian negara bangsa ini kerana tidak ada rujukan jelas yang diberikan. Hal ini kerana, perbincangan tema besar seperti ‘negara bangsa’ tidak boleh dipisahkan daripada pengertian yang sudah sebati dalam kajian bidang yang dipalitkan dalam pendapat individu.

“‘State’, atau ‘negara’, adalah pembahagian kawasan secara geografi di bumi dan agak jelas dan mudah difahami konsep dan kuantiti atau keluasannya. Mendefinisi dan memperjelaskan konsep ‘nation’ atau ‘nusa’ lebih susah, malah para antrapologis gagal bersatu dalam usaha mendefinisikannya, kerana secara intipatinya nusa adalah sesuatu yang ‘intangible’ atau sukar digambarkan secara fizikal, malah ianya lebih berkait kepada unsur hubungan psikologi sesuatu kumpulan manusia.

Dictionary of International Relations pula mendefinisikan nusa seperti berikut: “Satu kumpulan manusia yang berkongsi ideologi yang sama, institusi dan budaya yang sama, serta keturunan yang sama,” dan saya akan guna definisi ini untuk kegunaan di sini. Maka daripada gabungan dua istilah ini, kita dapati beberapa kamus antarabangsa mendefinisikan ‘nation state’ atau ‘negara bangsa’ sebagai ‘kawasan di mana sempadan budaya adalah sama dengan sempadan negara, serta majoriti besar rakyatnya adalah daripada keturunan yang sama dan mengguna bahasa yang sama’.”

Sambung beliau lagi, “sehingga kurun ke 17M, tidak wujud sempadan negara seperti yang kita dapati hari ini, malah yang wujud zaman itu dan sebelumnya ialah empayar yang merangkumi pelbagai etnik. Sama ada Empayar Islam awal pada kurun ke 7 hingga kurun ke 15, Empayar Uthmaniyyah daripada kurun ke 15 hingga kurun ke 20, Empayar British, Empayar Austria, Kingdom of France dan Kingdom of Hungary. Rakyat mereka semuanya terdiri daripada pelbagai etnik, bahasa dan budaya.”

Bagi Dr. Mohd Fauzi, Malaysia bukanlah negara bangsa kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, bahasa dan budaya. Pembentukan negara bangsa bererti menyatakan Malaysia hanya ada satu keturunan etnik, atau majoriti besarnya adalah daripada satu keturunan, maka setiap budaya juga adalah daripada satu budaya.

“Saya berpendapat, adalah tidak salah untuk terus memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa (multi-race); berbilang etnik (multi-ethnic); berbilang budaya (multi-culture) dan berbilang bahasa (multi-language). Malah, kepelbagaian inilah yang selama ini menjadikan Malaysia sebuah negara unik di dunia, dan boleh dipasarkan dengan baik kepada dunia pelancongan. Jika kita mahu hidupkan pengenalan ‘Bangsa Malaysia’ ianya bukan satu kemestian digelar, apa lagi untuk dibentuk sebagai sebuah ‘negara bangsa’,” tegas Dr. Mohd Fauzi Shaffie.

Artikel penuh berkenaan isu ini boleh dibaca di sini

Comments