Home Tempatan Malaysia-Arab Saudi tumpu isu negara Islam sejagat

Malaysia-Arab Saudi tumpu isu negara Islam sejagat

SHARE

PUTRAJAYA: Isu berkaitan negara Islam sejagat menjadi antara agenda perbincangan utama sepanjang lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, yang menamatkan lawatan empat hari ke Malaysia hari ini.

Dalam kenyataan bersama Arab Saudi-Malaysia hari ini, kedua-dua pihak sependapat mengenai keperluan meningkatkan dan menggembleng kerjasama negara Islam bagi menentang keganasan serta menolak amalan berpuak.

Sebaliknya, usaha perlu digerakkan selaras matlamat dan tujuan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mencapai keamanan serta keselamatan global.

Kedua-dua pihak juga bersetuju fenomena keganasan tidak wajar dikaitkan dengan bangsa, warna kulit atau agama kerana adalah lebih penting meningkatkan usaha sama menentang keganasan dalam apa bentuk dan penampilan, tanpa mengira asalnya.

Sehubungan itu, persefahaman dicapai bagi menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di sini, dengan kerjasama Pusat Peperangan Intelektual, Kementerian Pertahanan Arab Saudi; Pusat Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia; Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Liga Muslim Sedunia.

Semua institusi berkenaan diberi tempoh 90 hari untuk menzahirkan pengurusan bagi penubuhan pusat terbabit, bermula dari tarikh pengumumannya iaitu ketika perjumpaan dua hala antara Raja Salman dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Seri Perdana, kelmarin.

Kedua-dua pihak turut membicarakan isu politik di Asia Barat terutama pergolakan di Palestin, dengan penekanan khusus terhadap keperluan mencapai keamanan menyeluruh, berkekalan dan saksama sebagai rumusan menyelesaikan masalah seperti terkandung dalam Inisiatif Keamanan Arab serta resolusi berkaitan.

Arab Saudi dan Malaysia turut menekankan kepentingan menyelesaikan krisis di Syria berasaskan kenyataan Geneva 1 dan Resolusi 2254 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terutama dari segi bantuan kemanusiaan dan bantuan amal kepada pelarian Syria, baik di dalam atau luar negara itu.

Kepentingan mengekalkan kesepakatan, kemerdekaan dan kedaulatan Yaman selain mencari rumusan politik bagi mengakhiri krisis di negara itu berasaskan Inisiatif Teluk, hasil dialog nasional dan Resolusi 2216 UNSC turut ditekankan, yang mana kedua-dua pihak mengesahkan sokongan kepada kepimpinan yang sah di Yaman.

Arab Saudi dan Malaysia turut menyuarakan kebimbangan serius berhubung campur tangan Iran dalam isu dalaman negara lain di rantau itu dan menggesa Iran komited terhadap dasar menjadi negara jiran baik yang perlu menghormati kedaulatan negara lain. Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, turut berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Perdana Menteri serta semangat persaudaraan rakyat Malaysia atas sambutan yang diberi.

Berita Harian

Comments